Sabtu, 14 March 2020 | 11:00am

Ponteng kerja, tanda tidak berintegriti

Hilang waktu bertugas, meja kosong, buat kerja peribadi dan ambil masa lama untuk rehat atau makan selalu menjadi sungutan ramai, terutama rakyat yang mahu berurusan di pejabat kerajaan. Justeru, peringatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri supaya penjawat awam menjaga amanah masa ketika menjalankan tugas perlu diambil serius.

Bagi kita, nasihat bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu bukan hanya perlu didengari pegawai dan kakitangan di jabatan serta agensinya, bahkan semua penjawat awam atau swasta tidak kira apa jawatan atau kedudukan mereka. Kepentingan menjaga amanah masa itu turut disahut rakan sejawatannya yang bertanggungjawab terhadap Parlimen dan undang-undang. Hakikatnya, menjaga amanah masa adalah asas kepada integriti, iaitu pegangan prinsip moral serta etika kerja yang perlu diterjemah ketika menjalankan tugas. Berintegriti bukan hanya bermaksud tidak mengambil rasuah dan menyalahgunakan harta kerajaan atau majikan untuk kepentingan peribadi. Mencuri masa juga boleh menjadikan seseorang penjawat awam tidak amanah dan jujur.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. - Foto Asyraf Hamzah
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. - Foto Asyraf Hamzah

Ketika ini di Malaysia ada 1.6 juta penjawat awam. Bayangkan berapa jumlah masa disalahgunakan jika sebilangan mereka menyalahgunakan sejam setiap hari untuk urusan peribadi. Jika setahun, jumlahnya tentulah besar dan jika dinilai dalam bentuk wang pula, pastilah membabitkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan. Itu belum lagi mengambil kira kerugian dari sudut produktiviti. Justeru, kita mahu penjawat awam memperbaiki budaya kerja dengan mementingkan integriti bermula sikap amanah terhadap masa. Kejayaan atau kegagalan negara mengharungi cabaran genting itu, terletak di bahu setiap penjawat awam yang memberikan usaha optimum.

  • Lagi berita mengenai Kabinet 2020

  • Usah cuai hadapi pandemik COVID-19

    COVID-19 sudah mencapai tahap pandemik selepas ia merebak ke 125 negara di seluruh dunia dan menjangkiti lebih 126,100 orang serta meragut 4,717 nyawa. Malah, angka itu terus meningkat setiap hari. Semua pihak tidak boleh lagi mengambil mudah penularan COVID-19 ini. Kekhuatiran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap tahap penularan itu turut disebabkan kebimbangan tindakan diambil di sesetengah negara setakat ini tidak mencukupi.

    Soalnya, apakah kekhuatiran badan dunia itu diterjemah kepada perubahan sikap rakyat dalam mengambil langkah pencegahan dan penjagaan kebersihan diri? Kita tertanya-tanya apakah masyarakat mengamalkan langkah seperti kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman. Bagaimana pula dengan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung dengan tisu ketika batuk atau bersin sebelum membasuh tangan serta-merta.

    Lebih membimbangkan, langkah itu tidak diterjemahkan secara kolektif di tempat tumpuan ramai, termasuk stesen pengangkutan awam dan pusat beli-belah, selain pejabat awam serta swasta. Masih banyak tidak menyediakan cecair pembasmi kuman sedangkan ia antara langkah penting menangani penularan COVID-19. Apakah ia disebabkan cuai dan tidak cakna atau mungkin disebabkan produk itu tiada di pasaran? Untuk itu, kita berharap kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bekerjasama untuk memastikan kelengkapan penting itu mencukupi di pasaran.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X