Jumaat, 13 March 2020 | 11:00am

Gabungan kepakaran dalam EAC kurangkan impak COVID-19

Sidang media sulung Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, memberi gambaran keutamaan kerajaan dalam mendepani cabaran semasa pasca pembentukan pentadbiran baharu. Beberapa isu digariskan, namun tumpuan terhadap isu berkaitan ekonomi diletakkan keutamaan tertinggi kerana membabitkan periuk nasi rakyat.

Realitinya, penularan COVID-19 masih kebimbangan utama. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) beberapa hari lalu meramalkan penularan virus itu bakal menjejaskan harapan pertumbuhan ekonomi kukuh tahun ini.

Tidak hairanlah Malaysia selaku antara negara perdagangan, turut bimbang dengan impak COVID-19. Sehingga kini Pakej Rangsangan Ekonomi dengan suntikan RM20 bilion sudah dilancar, namun dikhabarkan kerajaan akan meneliti semula pelan jangka pendek itu untuk disesuaikan keadaan semasa.

Selain COVID-19, banyak lagi isu dan cabaran menuntut perhatian segera dan khusus kerajaan. Contohnya, kejatuhan harga minyak mentah ke paras AS$30 (RM127) setong sehingga memberi kesan kepada dana negara. Masalah sedia ada seperti pengangguran serta kepentingan kelompok B40 berkaitan kos sara hidup, rumah mampu milik dan banyak lagi, juga perlukan perhatian khusus.

Kita setuju jika kerajaan meneliti semula Pakej Rangsangan Ekonomi memandangkan ketika ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sudah mengisytiharkan COVID-19 memasuki tahap pandemik. Lantas skala pakej rangsangan itu juga perlu diperluas.

 COVID-19
COVID-19

Ini perlu dinilai Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang akan ditubuhkan kerajaan. Kita percaya inisiatif ini signifikan memandangkan EAC dibarisi beberapa menteri di bawah portfolio berkaitan ekonomi, selain pakar pelbagai bidang. Dengan gabungan kepakaran dan latar belakang, penubuhan EAC menepati kehendak semasa, termasuk mendepani cabaran mendatang. Apa yang jelas, pemusatan kepakaran dan teraju ekonomi beberapa kementerian di bawah satu rangka kerja seperti EAC, cukup bijak. Sekurang-kurangnya ia memudahkan setiap isu yang melingkari kepentingan negara dan rakyat ditangani segera. Ia dapat mengelak keputusan dibuat bersifat silo.

Dalam kerajaan hari ini dibentuk tanpa manifesto khusus, tumpuan harus diberikan kepada isu terkini dan mendesak seperti digariskan. Semua itu dalam ‘senarai menunggu’ untuk ditangani kerajaan, sementara menunggu tawaran baharu untuk rakyat diumumkan. Diharap kerajaan dapat pastikan ia realistik. Tidak guna sediakan tawaran tinggi menggunung, tetapi tidak mampu dilaksana. Ia hanya mengundang kekecewaan rakyat.

Yang pasti, tiga keutamaan harus diberi perhatian dalam merangka tawaran iaitu merangsang daya tahan ekonomi, menangani isu kos sara hidup serta merangka hala tuju ekonomi dan agenda pembangunan negara. Kenyataan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus mengenai potensi perbelanjaan swasta yang kukuh ketika ini juga perlu diambil kira. Sekurang-kurangnya ia boleh menyokong pertumbuhan ekonomi negara di sebalik persekitaran mencabar kesan COVID-19.

Bagi anggota Kabinet, isyarat Perdana Menteri sudah diberi untuk memulakan tugas. Ia wajar disahut. Ibarat rangkap terakhir lagu Perajurit Tanah Air atau lebih dikenali Inilah Barisan Kita ciptaan Saiful Bahari: “Semboyan telah berbunyi, menuju medan bakti.”

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X