Ahad, 8 March 2020 | 11:00am

Cakap biar serupa bikin

Suka Belalang lihat sikap berlapang dada ditunjukkan PAS dan UMNO apabila menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menggunakan kuasa prerogatif memilih Timbalan Perdana Menteri. Inilah semangat yang semua ingin tengok.

Bagi Belalang, memang wajar Perdana Menteri diberi ruang untuk membuat pertimbangan secara bebas, tanpa ada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

Namun, harapnya jangan pula ada yang cakap tak serupa bikin - di depan kata lain, di belakang pula lain yang dicakap. Sikap bermuka-muka sebegini harus dikikis, kerana ia hanya mengundang masalah. Bak kata pepatah ibarat sokong membawa rebah.

Gambar fail, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin (tengah) bersama Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri), Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua kanan) dan bersama ahli parlimen yang lain ketika keluar untuk mengadap agong di Istana Negara bagi mengemukakan nama calon Perdana Menteri ke-8 pada 29 Februari lalu. - Foto Aswadi Alias
Gambar fail, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin (tengah) bersama Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri), Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua kanan) dan bersama ahli parlimen yang lain ketika keluar untuk mengadap agong di Istana Negara bagi mengemukakan nama calon Perdana Menteri ke-8 pada 29 Februari lalu. - Foto Aswadi Alias

Tugas berat menanti Peguam Negara

Tahniah Belalang ucapkan kepada Tan Sri Idrus Harun atas pelantikan sebagai Peguam Negara yang baharu, berkuat kuasa kelmarin.

Belalang percaya pengalaman luas kira-kira empat dekad berkecimpung dalam bidang perundangan termasuk menjawat kedudukan seperti Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan, dapat membantu beliau menggalas tugas itu sebaik mungkin.

  Apa yang penting, Belalang tak mahu lagi dengar timbul persepsi negatif kononnya Peguam Negara dibayangi kepentingan kelompok tertentu seolah-olah perundangan menjadi bahan mainan politik, bukannya demi menegakkan keadilan yang menjadi matlamat utama.

Bijak rancang aktiviti elak COVID-19

COVID-19 di negara kita kini memasuki fasa penularan gelombang kedua, namun ramai Belalang tengok orang kita seperti acuh tak acuh menilai risiko wabak ini.

Bukan nak sekat kebebasan, tetapi dalam keadaan hari ini sebaiknya elakkan daripada berkunjung ke tempat tumpuan ramai agar tidak mengundang risiko jangkitan. Belalang setuju jika ada alternatif lebih selamat contohnya seperti urusan dalam talian, mengapa masih ramai nak ambil risiko beratur di kaunter bersama orang lain yang tidak diketahui status kesihatan.

Menjelang cuti sekolah ini, harapnya ibu bapa lebih kreatif merancang aktiviti selamat untuk anak, Paling penting elak bercampur gaul dengan orang luar, agar tidak terdedah risiko jangkitan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X