Jumaat, 6 March 2020 | 11:00am
JOHOR BAHRU 24 JANUARI 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, Aminolhuda Hassan ketika sidang media mengenai lapan warga China membabitkan empat dewasa dan empat kanak-kanak itu akan dipantau Jabatan Kesihatan Johor selama 14 hari dengan pergerakan mereka dihadkan hanya di sekitar hotel sahaja, di Hospital Temenghong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai. NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN?
JOHOR BAHRU 24 JANUARI 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, Aminolhuda Hassan ketika sidang media mengenai lapan warga China membabitkan empat dewasa dan empat kanak-kanak itu akan dipantau Jabatan Kesihatan Johor selama 14 hari dengan pergerakan mereka dihadkan hanya di sekitar hotel sahaja, di Hospital Temenghong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai. NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN?

Antara 'isyarat' IMF dan usaha tangani COVID-19

Satu ‘isyarat’ penting perlu diambil perhatian apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan penularan global bakal COVID-19 menjejaskan harapan pertumbuhan ekonomi kukuh tahun ini. IMF menjangkakan pertumbuhan ekonomi global 2020 akan berada di bawah paras 2.9 peratus berbanding pada 2019. Apakah ini bermakna ‘krisis’ kesihatan yang melanda dan semakin meningkat ketika ini akan mengheret dunia ke dalam kemelesetan?

Malaysia sebagai sebuah negara pedagang, tentu tidak terkecuali menerima kesan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melaporkan, eksport Malaysia merosot 1.5 peratus kepada RM84.08 bilion pada Januari lalu berbanding bulan sama pada 2019, sementara import susut 2.4 peratus kepada RM72.06 bilion.

Dengan penularan di peringkat global yang semakin meningkat, selain pertambahan jumlah kes domestik yang dikesan, impak COVID-19 terhadap pertumbuhan ekonomi negara sukar dinafi.

Justeru, isyarat diberi IMF perlu dipandang serius. Pakej Rangsangan Ekonomi dilancar kerajaan untuk mendepani impak wabak itu memang langkah tepat. Namun, kerajaan tidak boleh bergerak sendiri, sebaliknya penggiat industri segenap peringkat perlu turut serta memainkan peranan menyokong strategi digariskan.

Kita puji inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalam (OPR) yang dianggap wajar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di tengah impak penularan COVID-19. Apa salahnya semua penggiat industri menilai dan tampil dengan pelan tersendiri ke arah menangani COVID-19. Dengan ini, pasti impak wabak itu terhadap ekonomi negara dapat diminimumkan.

Dalam tumpuan semua pihak kepada usaha mengekang penularan COVID-19 yang kini memasuki gelombang kedua, negara tidak boleh sekali-kali terlepas pandang impak besarnya kepada ekonomi.

Dalam transisi peralihan kerajaan yang sedang berlangsung, mungkin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, boleh mempertimbang sekurang-kurangnya melantik dua atau tiga menteri awal untuk menerajui portfolio penting dan utama, bagi menangani cabaran semasa.

Contohnya berkaitan ekonomi, pelaburan atau mungkin kesihatan untuk memastikan usaha menangani impak COVID-19 lebih pantas dan tersusun. Kita percaya tugas mencabar menanti sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Menteri Kewangan atau Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mereka perlu bekerja secara pantas, ibarat kenderaan yang terus memecut dalam mod kelajuan gear empat atau lima, bukan lagi bertatih. Sementara pelantikan dibuat, mungkin boleh diwujudkan jawatankuasa interim pada peringkat kementerian untuk memantau perjalanan Pakej Rangsangan Ekonomi.

Apa yang jelas, kita tidak pasti sampai bila penularan COVID-19 akan berterusan, lantas skala impak wabak terhadap kedudukan ekonomi juga sukar dijangka sama ada akan berterusan untuk satu tempoh yang lama. Apa pun negara sudah mula bergerak ke landasan tepat apabila menggerakkan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk menangani wabak berkenaan.

Kini terpulang kepada aspek pelaksanaan dan jika semua dapat berganding bahu menjayakannya, pasti ancaman impak wabak mampu ditangani secara strategik, sekali gus mengelak negara terkesan secara serius.

Berita Harian X