Isnin, 9 Disember 2019 | 11:00am

Sekat ideologi PKM sebelum menular

Pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, mengenai gerakan Komunis Gaya Baharu (KGB) di Indonesia yang cuba menghidupkan kembali semangat Parti Komunis Indonesia (PKI) perlu dipandang serius. Gerakan itu secara sulit menyusup masuk melalui badan sah seperti persatuan imam masjid di negara berkenaan.

Malaysia harus ambil perhatian kerana tidak mustahil gerakan hampir sama mungkin berlaku di tempat kita. Ketika ini pun sudah ada bibit usaha cuba menghidupkan kembali Parti Komunis Malaya (PKM), selain memberi naratif baharu kepada sejarah berkaitan gerakan pengganas itu.

Apa berlaku dengan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa masuk secara haram serta perhimpunan berkaitan PKM di Kajang baru-baru ini, hanya sekelumit dan mungkin permulaan.

- Gambar hiasan/ihsan pakdin.my/

Jika tidak dikekang, apakah kita sanggup menerima kesannya jika ideologi PKM kembali berputik dan berkembang?

Malaysia tidak boleh lagi menerima kehadiran PKM, seperti kita menolak gerakan atau ideologi ekstremis lain termasuk Daesh dan IS. Bayangkan jika ideologi komunis berkembang, apa jadi kepada sistem masyarakat dan kerajaan kita. Apakah tunjang Perlembagaan kita akan terus terpelihara dan apa pula nasib perpaduan serta keharmonian yang selama ini menjadi tunjang keamanan negara?

PKR perlu serius cari jalan damai

Ribut yang berlaku dalam PKR amat menggusarkan keadaan. Persengketaan antara dua kem membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali bukan lagi rahsia. Ia menuntut langkah penyelesaian dicari dengan kadar segera.

Mahu tidak mahu, PKR harus cari jalan mendamaikan kedua-dua pihak. Benar Anwar mengakui ada sinar ke arah itu, namun bercakap sahaja tidak cukup kerana komitmen lebih serius perlu dizahirkan kedua-dua pihak.

Sepatutnya kongres parti di Melaka menjadi titik untuk mencari solusi, namun menyedihkan ada yang memilih mencurah minyak ke dalam api yang sedia marak.

Kita percaya negara tidak mampu lagi melihat rakyat berpecah-belah walau dalam apa platform sekalipun. Lihat sahaja Melayu kini yang pengaruhnya sudah sedia terpecah kepada enam parti berbeza. Apakah kita mahu ada lagi perpecahan?

Berita Harian X