Rabu, 2 Oktober 2019 | 11:00am

Hapus stigma industri buku tak penting

Apabila bercakap soal industri buku di negara ini tenat, ukuran logiknya pasti kepada budaya membaca rakyat kita. Walaupun kadar literasi tinggi, rakyat Malaysia secara purata membaca 15 hingga 20 buku setahun. Ia jauh lebih rendah berbanding 40 judul buku setahun di negara maju.

Benar budaya membaca antara penentu, namun aspek struktur dan penumpuan pada peringkat pembuat dasar, khususnya kerajaan terhadap hala tuju industri tidak boleh diketepikan dalam melonjak potensi industri buku negara. Kita percaya inisiatif khusus ke arah menarik minat umum untuk membaca harus terus disuntik melalui Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan.

Inisiatif seperti pemberian baucar buku atau pelepasan cukai peribadi untuk pembelian buku harus dipastikan lebih memberi impak. Kita mahu budaya membaca terus segar, sekali gus memberi suntikan untuk memacu industri buku negara. Kaedah juga harus dicari agar perpustakaan dapat diberi suntikan suasana lebih ‘segar’ dan mesra untuk menarik minat, khususnya anak muda mengunjunginya.

Usaha menggalak penulis menghasilkan karya berkualiti juga perlu diberi tumpuan. Banyak persatuan penulis hari ini yang keadaannya ‘ibarat hidup segan mati tak mahu’. Mungkin pengenalan royalti lebih tinggi kepada pengkarya serta pengecualian cukai terhadap usaha pengkaryaan dapat membantu. Yang pasti stigma pemikiran kononnya industri buku sebagai tidak penting harus diketepikan.


- Gambar hiasan

Kenapa perlu tunggu saat akhir

Ramai yang setuju kalau dikatakan sememangnya ‘perangai’ orang kita suka buat kerja last minute atau pada saat akhir. Budaya ini semakin sinonim dalam banyak hal. Contoh terdekat berlaku di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), susulan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), kelmarin.

Walaupun diperkenal sejak November tahun lalu, masing-masing buat tak tahu sehingga terdesak. Hasilnya, kaunter LHDN sesak diserbu, sampaikan ada yang sanggup datang awal pagi dan terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran pun tak apa. Ini sikap orang kita yang sejak dulu tidak pernah nak berubah.

Sikap begini harus diubah. Setiap dari kita perlu sedar peranan masing-masing sebagai rakyat, lantas melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai secara sukarela. Kenapa perlu sampai digertak dengan hukuman atau denda yang tinggi, baru nak tunai tanggungjawab.

Harapnya mereka yang beratur panjang di kaunter LHDN kelmarin sempatlah tunai tanggungjawab masing-masing melalui PKPS.

Bagi yang tidak sempat, jangan pula salahkah LHDN jika dikenakan penalti tinggi nanti kerana tempoh memadai sudah diberikan, malah kaunter turut dibuka pada Sabtu untuk kemudahan.

Berita Harian X