Ahad, 29 September 2019 | 11:00am
DOMINASI kuasa veto lima negara besar dunia memberi kesan negatif kepada fungsi dan tujuan penubuhan PBB. - Foto hiasan

Hapuskan kuasa veto lima negara PBB

SUDAH sampai masanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai sebuah pertubuhan dunia mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan drastik terhadap peranan serta pengurusan yang dimainkan olehnya supaya ia lebih adil dan saksama untuk semua pihak.

Dengan munculnya banyak konflik kemanusiaan berpanjangan yang tidak dapat diselesaikan PBB seperti peperangan yang berlaku di bumi Syria, kesengsaraan dihadapi masyarakat Palestin, tragedi pembunuhan puak Rohingya di Myanmar, ramai pihak menganggap PBB tidak memainkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka sejak ditubuhkan pada 1945.

PBB ditubuhkan 74 tahun lalu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua (1939-1945) yang menyaksikan jutaan kematian manusia di negara yang terbabit dengan peperangan itu.

Pada asalnya, PBB dianggotai 51 negara, kini sudah menjangkau 193 negara anggota. Penubuhan PBB adalah berdasarkan matlamat bagi menjalin hubungan kerjasama sesama negara-negara dunia serta mengekalkan suasana aman, harmoni dan adil di antara semua negara dunia.

Namun, matlamat ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya PBB gagal melaksanakan beberapa perubahan dalaman bagi memastikan pertubuhan berkenaan kekal relevan serta efektif di mata dunia.

Antara faktor utama menyebabkan PBB gagal berfungsi dengan baik ialah kerana ia dilihat masih didominasi oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Russia, United Kingdom, Perancis dan China. Bukan sahaja PBB didominasi oleh kelima-lima kuasa dunia ini, malah PBB turut memberi mereka kuasa yang boleh menentukan arah tuju perjalanan PBB itu sendiri.

Antara kuasa yang diberikan kepada lima negara ini ialah kuasa veto. Kelima-lima negara ini boleh menggunakan kuasa veto yang dimiliki oleh mereka bagi menghalang sebarang cadangan atau draf resolusi yang dikemukakan melalui Majlis Keselamatan pertubuhan berkenaan.

Kuasa veto yang dimiliki lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan terbabit sudah pun wujud sejak penubuhan PBB setelah tamat Perang Dunia Kedua. Walaupun tiada peruntukkan khusus mengenai kuasa veto dinyatakan dengan jelas melalui Piagam PBB 1945 itu sendiri, jika dianalisis dengan teliti melalui Artikel 27 Piagam PBB 1945 ada menyatakan sebarang keputusan yang ingin diambil oleh pihak Majlis Keselamatan, PBB perlu mendapat persetujuan serta tanpa bangkangan lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan itu.

Ini sekali gus boleh ditafsirkan sebagai pemberian kuasa khas veto kepada kelima-lima negara berkenaan. Penggunaan kuasa veto yang dimiliki itu banyak mengundang perasaan tidak puas hati banyak negara anggota PBB sendiri.

Kuasa veto yang diberikan kepada lima negara berkenaan sering disalah guna mengikut kepentingan politik kelima-lima negara berkenaan. Antara yang teruk menerima impak akibat salah guna kuasa veto terbabit ialah masyarakat Palestin yang menghadapi kezaliman rejim Israel sejak penubuhan negara Israel pada 1948.

Banyak resolusi dikeluarkan PBB yang menentang Israel, diveto oleh sekutu kuat Israel iaitu Amerika Syarikat. Akibatnya, rejim Israel tanpa rasa takut serta bersalah masih melakukan siri-siri kekejaman mereka terhadap masyarakat Palestin.

Impak buruk kuasa veto ini juga turut terkena kepada Malaysia apabila pada 2015, pihak Russia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan PBB menghalang cadangan lima negara, yang dipelopori Malaysia bagi menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Wilayah Timur Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 nyawa termasuk 43 orang warga Malaysia.

Penggunaan kuasa veto itu memang sudah banyak mengundang perasaan tidak puas hati negara anggota PBB sendiri. Malah ia turut menyebabkan PBB menjadi sebuah agensi yang tidak membawa apa-apa makna di mata dunia bagi melindungi serta mempertahankan hak asasi manusia.

Oleh itu, sudah sampai masanya PBB mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan bagi memastikan ia kekal relevan serta bebas menjalankan aktivitinya tanpa gangguan serta pengaruh daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan.

Kuasa veto yang diberikan kepada kelima-lima negara berkenaan perlu ditarik balik. PBB juga perlu melihat kembali kepada piagamnya supaya tiada lagi peruntukan khas diberikan pada mana-mana negara anggota tertentu hingga wujudnya ketidakadilan terhadap negara anggota yang lain dalam PBB itu sendiri.

Sudah sampai masanya juga, semua negara anggota PBB dilayan sama adil tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mana-mana negara anggota tertentu. Sekiranya tiada langkah berani diambil bagi melaksanakan segala pembaharuan terhadap agensi berkenaan, PBB sudah pasti akan rebah seperti yang berlaku terhadap pertubuhan antarabangsa sebelum wujudnya PBB iaitu Liga Bangsa-Bangsa (League of Nations) lebih 80 tahun lalu.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berita Harian X