Selasa, 24 September 2019 | 11:00am
MALAYSIA kaya dengan sumber alam apabila dikurniakan tanah subur, suhu panas dan lembap serta taburan hujan sepanjang tahun.

Pengurusan hutan lestari ke arah 'utopia' hijau

MALAYSIA kaya dengan sumber alam apabila dikurniakan tanah subur, suhu panas dan lembap serta taburan hujan sepanjang tahun.

Tasik, sungai dan laut kita dipenuhi ikan serta pelbagai hidupan akuatik dan marin. Hutan bakau menghiasi pantai kita, manakala hutan - sama ada di tanah rendah atau pergunungan - kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan.

Sebahagian spesies itu adalah endemik - tidak boleh ditemui di tempat lain kecuali di negara ini. Malaysia sendiri dinobat satu daripada 17 negara di dunia yang diklasifikasikan sebagai negara mega biodiversiti.

Kepelbagaian sumber ini menggambarkan Malaysia umpama sebuah ‘peti harta karun’ biologi, dengan potensi pembangunan dalam sektor pemakanan, farmaseutikal dan pelbagai industri lain melalui kajian penyelidikan dan pembangunan. Hutan di Malaysia juga diperkaya sumber kayu pelbagai spesies.

Turut menjadi kepentingan servis ekosistem yang diwujudkan hutan bagi tujuan konservasi air dan tanah, mitigasi banjir serta kemarau, melawan pemanasan global dan lain-lain.

Semua ini penting bagi keselamatan makanan dan air, tidak hanya pada pengguna domestik dan industri, tetapi juga bagi tujuan pengairan dan penjanaan hidroelektrik – di mana pelaburan besar dibuat bagi tujuan ini.

Perlembagaan Persekutuan menggariskan pengurusan sumber asli serta penjagaan dan perlindungan alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama antara Kerajaan Pusat dan negeri, khususnya melalui mana konservasi dan pengurusan hutan lestari (SFM).

Aspek pengurusan hutan di Malaysia bermula dengan pelantikan Burn-Murdoch sebagai Ketua Pegawai Perhutanan pertama pada 1901. Ketika itu, terminologi SFM dan biodiversiti jarang didengar.

Undang-undang berkenaan hutan di Malaysia kali pertama diperkenalkan pada 1907. Penyelidikan hutan tidak dipinggirkan apabila Dr F W Foxworthy dilantik Ketua Pegawai Penyelidikan Hutan pada 1918.

Malaysia turut mewarta banyak kawasan perlindungan penuh (TPA) bagi tujuan konservasi biodiversiti dan aktiviti pembalakan tidak dibenarkan di kawasan berkenaan. Taman Negara satu daripadanya melalui pewartaaan pada 1939 dan menjadi kawasan konservasi tertua Asia Tenggara.

Walaupun diserang pelbagai tuduhan, Malaysia masih sebuah negara hijau dengan 54 peratus permukaan buminya diliputi hutan, kebanyakannya kawasan diwartakan hutan simpan kekal (HSK) dan TPA.

Bagi mengekalkan kehijauan, Malaysia menyatakan komitmen dalam Sidang Kemuncak Bumi 1992, bahawa kawasan hutan di negara ini akan dikekalkan melebihi 50 peratus daripada jumlah keluasan tanah.

Keputusan penting ini dibuat bagi mengimbangi keperluan penjagaan alam dan pengurusan ekonomi. Dasar ini juga selaras 17 Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang diangkat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.

Selaras komitmen Malaysia dalam hutan simpan kekal lestari, sebuah jawatankuasa kebangsaan ditubuhkan pada 1994, sejajar ketetapan Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO).

Komitmen terhadap pengurusan hutan lestari diterjemahkan pula melalui penubuhan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) pada 1999.

Namun, konsep pensijilan bukan baharu kerana sedekad sebelumnya, Ketua Menteri Sarawak ketika itu menjemput ITTO untuk menghantar delegasi bebas ke Sarawak dan menilai status pengurusan hutan lestari di negeri berkenaan.

Satu lagi perkembangan utama dalam isu pengurusan hutan di Sabah adalah pensijilan pengurusan hutan lestari Deramakot pada 1997, dua tahun sebelum penubuhan MTCC.

Terdapat dua skim antarabangsa bagi pensijilan hutan, iaitu Forest Stewardship Council (FSC) dan Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC).

MTCC mengadakan kerjasama dengan FSC, namun terpaksa dihentikan akibat beberapa kesukaran. MTCC kemudian berkolaborasi dengan PEFC.

Piawaian sedia ada diperbaiki untuk pengukuhan dan diadaptasi secara konsensus melalui proses rundingan dengan pemegang taruh.

Selepas piawaian ini dinilai PEFC, Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) disokong PEFC pada 2009 dan 2014. Sokongan ini memberikan penerimaan MTCS secara global dan pengiktirafan bersama-sama dengan 44 skim yang turut disokong PEFC.

Apakah status dan sejauh manakah capaian pensijilan hutan hutan simpan kekal di Malaysia? Apakah situasi terkini pensijilan hutan kita dalam konteks global? Terdapat lebih kurang 4 bilion hektar hutan di dunia pada masa kini dengan taburan seimbang di antara hutan tropika dan hutan bukan tropika.

Secara global, setakat penghujung 2018, 24 peratus hutan bukan tropika disijilkan, berbanding 1.8 peratus hutan tropika. Malaysia seharusnya berbangga kerana hampir 35 peratus hutan simpan kekal kita menerima pensijilan.

Malaysia sebagai negara yang bertanggungjawab pada peringkat antarabangsa, tidak akan mengetepikan komitmen terutama dalam memerangi pemanasan global melalui pengurusan hutan lestari dan liputan hutan yang mencukupi.

Dalam perspektif itu, Malaysia melihat kepada keperluan untuk bekerjasama dengan semua negara dan pemegang taruh, bagi menjadikan dunia yang kita kongsi ini sebagai tempat yang lebih baik.

Bekas Pengerusi Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) & Konsultan Perhutanan.

Berita Harian X