Ahad, 8 September 2019 | 11:00am
Kakitangan awam berkemahiran tinggi membantu memacu pembangunan dan pengurusan negara yang cekap. - Foto hiasan

Kecil saiz khidmat awam baik untuk pengurusan negara

Cadangan mengecilkan saiz perkhidmatan awam dengan unjuran pengurangan lima peratus untuk tempoh tiga tahun, iaitu satu peratus tahun ini, dua peratus tahun depan dan dua peratus pada 2021, boleh dianggap sebagai cadangan tidak popular. Namun, ia strategik daripada perspektif pengurusan kewangan dan ekonomi negara.

Disusuli pula dengan inisiatif untuk mewujudkan mekanisme baharu yang akan menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam. Ini adalah bersandarkan laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dan kerajaan disaran menyemak semula skim pencen penjawat awam, berikutan jangkaan peningkatan beban kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

Inisiatif yang akan dibangunkan sewajarnya menyasarkan pengurangan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun, daripada bebanan pencen kerajaan yang meningkat saban tahun dan sekarang mencecah RM28 bilion setahun.

Walaupun inisiatif ini masih perlu diperhalusi dan bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan, beberapa senario semasa wajar diberi pertimbangan seperti agenda Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), konsep Ekonomi GIG dan amalan pengurusan bakat berasaskan kompetensi, dalam mencorak kerangka kerja perkhidmatan awam Malaysia masa hadapan.

Kerangka kerja ini perlu dicirikan dengan fenomena IR4.0 yang memerlukan sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, agar daya saing dapat diperkasakan.

Peralihan kepada teknologi komputer dan pengautomatan bukan sahaja membawa kepada kecekapan dan keberkesanan operasi, malah memberi impak besar terhadap keperluan sumber manusia.

Peningkatan kecekapan dan pengurangan sumber manusia ini membawa kepada penjimatan kos yang drastik kepada kerajaan.

Ekonomi GIG merujuk kepada ekonomi sesebuah organisasi atau perniagaan beroperasi, dengan bergantung kepada pekerja bebas yang diberi kontrak kerja untuk memenuhi tugasan dan bersifat jangka pendek.

Sebenarnya, konsep ini sudah lama wujud. Ekonomi GIG sangat luas dan merangkumi pekerja yang merupakan kontraktor bebas sepenuh masa contohnya, perunding sehingga kepada mereka yang melakukan tugas sebagai pemandu Grab untuk beberapa jam seminggu.

Justeru, hal ini sejajar perkembangan teknologi seperti pembangunan aplikasi yang pantas dan juga sifat ekonomi GIG itu sendiri sangat fleksibel.

Program pengurusan bakat berasaskan kompetensi adalah satu langkah untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti sesebuah organisasi yang bergantung penuh kepada kemahiran dan aplikasi kemahiran sumber manusia.

Berdasarkan keperluan transformasi pengurusan bakat ini, organisasi melihat satu keperluan untuk mempelajari konsep dan metadologi pengurusan bakat, berdasarkan kompetensi dalam menyokong kepada pembangunan staf secara berstruktur seterusnya membentuk budaya kerja yang lebih berdaya saing.

Objektif agenda pengurusan bakat berasaskan kompetensi, ini adalah bagi memastikan pemimpin dan bakal pemimpin organisasi dibentuk melalui latihan pembangunan, pendayaupayaan serta pemerkasaan kepemimpinan yang berstruktur dan dinamik, di samping penekanan terhadap mutu, kualiti dan keberkesanan program.

Untuk merealisasikan pengurusan bakat berdasarkan kompetensi, memerlukan organisasi untuk menghasilkan satu modal kompetensi yang khusus atau unik.

Apa juga inisiatif dan kerangka yang diguna pakai kepada perkhidmatan awam Malaysia, ia pasti mengambil kira kebajikan warga kerja, dengan matlamat makroekonomi mewujudkan negara maju berdaya saing dan kompetitif.

Sementara itu, dalam mendepani era globalisasi yang dipacu oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan.

Senario ini mendorong kerajaan untuk melihat kembali secara serius, strategi pengurusan sumber manusia perkhidmatan awam.

Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan yang cemerlang perlu dijadikan agenda tetap dalam mana-mana proses pembangunan dasar ekonomi dan sosial, bagi membolehkan Malaysia bersaing pada peringkat global dan memacu ekonomi yang diterajui inovasi bagi menjayakan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang (UMP) merangkap Penasihat Teknikal Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB)

7112 dibaca
Berita Harian X