Sabtu, 7 September 2019 | 11:25am
- Gambar hiasan

Kaji semula formula kadar kemiskinan

Kerajaan perlu melihat semula mekanisme diguna pakai ketika ini bagi menentukan pengiraan sebenar kadar garis kemiskinan supaya sebarang perancangan pembangunan boleh dilaksanakan secara adil dan saksama kepada semua peringkat komuniti.

Kerajaan tidak perlu bimbang jika pengiraan kadar garis kemiskinan setelah dikaji semula, meningkat sehingga 20 peratus kerana ia sebenarnya dapat membantu kerajaan melaksanakan program serta dasar yang lebih tepat.

Misalnya, pasangan suami isteri bergaji RM2,700 di bandar tidak sama dengan pasangan berpendapatan sama, di luar bandar. Dengan itu, jika ada sebarang program untuk membantu golongan berpendapatan bawah RM3,000 perlu mengambil kira lokaliti. Dengan itu juga, kerajaan perlu juga melihat semula takrifan baharu bagi membezakan golongan masyarakat dalam kalangan B40.

Oleh itu, apabila kerajaan membuat kajian semula pengiraan kadar kemiskinan, garis kemiskinan tidak seharusnya ditentukan berdasarkan faktor fizikal, sebaliknya diperluaskan merangkumi aspek sosial yang memberi kesan kepada kos sara hidup. Faktor fizikal seperti gaji, pemilikan rumah dan kenderaan tidak lagi menjadi penentuan tahap kemiskinan seseorang khususnya yang menetap di bandar.

FIFA perlu bertindak insiden di Jakarta

Tahniah diucapkan kepada skuad Harimau Malaya kerana berjaya menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta malam kelmarin walaupun bermain dalam keadaan tekanan yang amat tinggi daripada penonton tuan rumah.

Namun kita kecewa dengan sikap segelintir penonton yang membanjiri Stadium Gelora Bung Karno yang bagaikan tidak mahu menerima hakikat kekalahan apabila mengganggu pemain dan penyokong Malaysia hingga pemain diangkut menggunakan kereta perisai barracuda ke hotel penginapan atas faktor keselamatan.

Beberapa penyokong Malaysia dikatakan cedera termasuk patah tangan. Insiden seperti ini bukan kali pertama dan pernah berlaku pada 2010, 2011 dan tahun lalu. Paling diingati pada 2010, apabila pasukan Malaysia terpaksa menaiki barracuda ke Stadium Bung Karno, begitu juga ketika pulang ke hotel penginapan selepas dikepung penyokong tuan rumah dan dibaling objek keras ketika beraksi pada final Piala AFF.

Diharap Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) melihat secara serius soal keselamatan di stadium berkenaan dan ambil tindakan yang sewajarnya supaya insiden sama tidak terus berulang pada masa akan datang.

124 dibaca
Berita Harian X