Selasa, 3 September 2019 | 12:25pm

Bangkit bersama negara hadapi cabaran IR 4.0

Sejak tercetus Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) pada pertengahan 2016 dengan membabitkan teknologi automasi, cabaran baharu meresap ke dalam semua sektor perkhidmatan dan perindustrian negara.

Ia menuntut perubahan semua pihak seiring transformasi digital itu, supaya dapat terus kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden, memandangkan ia bakal memberi kesan langsung kepada masa depan dunia pekerjaan.

Malaysia antara negara yang membuat persediaan secara komprehensif dalam menghadapi revolusi digital ini.

Berdasarkan data Pusat Bank Data Negara dan Inovasi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri, inisiatif itu mula dilaksanakan mengikut keutamaan tertentu sebelum gelombang IR 4.0 mula melanda negara Asia.

Hasilnya, data ICU menjelaskan sumbangan ekonomi digital Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir mencecah sasaran 18.2 peratus yang ditetapkan pada 2020.

Ia antara lain disumbangkan peruntukan tinggi sekitar RM160 juta pada pembentangan bajet lalu, khusus untuk melaksanakan pelbagai program berkaitan e-dagang, hab digital Malaysia dan Digital Maker Movement.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) antara agensi bertanggungjawab menguruskan zon perdagangan bebas digital pertama dunia. Ia antara lain berfungsi sebagai zon khusus aktiviti perniagaan sama ada secara fizikal atau dalam talian bagi merangsang aktiviti keusahawanan.

Program outreach atau jangkauan juga antara terus dilaksanakan di pelbagai platform bersesuaian untuk mempersiapkan masyarakat dengan perkembangan dan kemajuan dalam bidang berkaitan IR 4.0. Sebahagian besarnya berkisar kepada dunia tanpa sempadan.

Teknologi robotik, objek rangkaian internet (IOT), kepintaran buatan (AI), data analitik, pemprosesan imej, perisian, sistem komunikasi mudah alih, percetakan tiga dimensi (3D), keselamatan siber, simulasi dan integrasi sistem digital antara elemen baharu yang mula mengambil alih fungsi pekerjaan dan sistem sedia ada.

Antara bidang yang turut bergerak seiring perkembangan revolusi ini ialah pendidikan dengan antara agenda diberikan perhatian serius ialah ruang kerjasama antara institusi pendidikan dan teknikal serta industri.

Pada peringkat pendidikan tinggi misalnya, antara lain ia berkisar kepada pembangunan bakat dan bidang teknologi baharu, digital dan kejuruteraan bertujuan mempersiapkan graduan untuk pasaran kerja dalam pengeluaran pintar.

Namun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dipetik berkata, Kementerian Pendidikan menekankan pentingnya prinsip, etika dan sikap bertanggungjawab dalam memacu IR 4.0 dengan kemajuan inovasi digital dan penghasilan IOT dalam konteks pemberdayaan modal insan. Salah satu daripadanya ialah konsep pembestarian sekolah.

Konsep ini menyediakan kerangka asas peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pengurusan dan pentadbiran sekolah (PdT) dan mengayakan hasil pembelajaran murid melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ia secara tidak langsung membuktikan revolusi dan perkembangan teknologi terutama dalam kalangan generasi muda sudah lama diberikan perhatian serius.

Inisiatif ini memberi impak besar dalam transformasi PdP berbantukan ICT di semua sekolah di Malaysia dan membuahkan hasil memberangsangkan. Ia juga membawa Malaysia ke persada dunia serta menjadi model panduan kepada negara luar termasuk Korea Selatan.

Terkini, penumpuan terhadap bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), terutama dalam mewujudkan kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri, turut menjadi antara aspek yang diberi perhatian serius, khususnya menerusi inisiatif Sijil Jalinan Kolaborasi (CoC).

Sebagai persediaan jangka masa panjang, kementerian turut berhasrat memperkenalkan silibus AI dan robotik dalam mata pelajaran Reka Cipta dan Teknologi (RBT) kepada murid Tahun Empat mulai 2020 nanti.

Dalam menyokong agenda berkenaan, UniMAP - sebuah universiti berteraskan kejuruteraan, turut memainkan peranannya membantu memupuk minat generasi muda, terutama dalam kalangan murid sekolah meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ia sebahagian usaha khidmat sosial universiti (USR) ke arah membentuk generasi celik teknologi dan mampu bersaing dalam cabaran IR 4.0. Komitmen itu antara lainnya ditunjukkan menerusi penganjuran pelbagai program yang meletakkan pelajar sekolah sebagai kelompok sasaran.

Harus diingat, perkara berkaitan teknologi bukan sesuatu yang popular dan mudah untuk diadaptasi, namun inisiatif dilaksanakan baik pada peringkat pentadbiran negara, kementerian mahupun universiti seharusnya menjadikan kita antara warga yang menyokong dan mendukung agenda perindustrian dan daya saing ekonomi negara.

Sebagai warganegara Malaysia, kita sewajarnya bersyukur apabila negara berusaha menjalankan pelbagai inisiatif untuk terus bangkit bersama-sama negara membangun lain dalam menghadapi cabaran IR 4.0.

Ayuh bersama menyokong agenda negara!

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Berita Harian X