Ahad, 1 September 2019 | 11:00am
SIFAT rahmah dapat mewujudkan toleransi, persefahaman dan kasih sayang serta mengelakkan perpecahan dan pertelingkahan dalam masyarakat berbilang bangsa. - Foto hiasan

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

PADA 1987 bersamaan 1408 Hjirah, Malaysia mengadakan Sambutan Maal Hijrah secara rasmi buat kali pertama dan memilih Syeikh Mohamad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi, sebagai penerima pertama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan.

Sudah tentu, sambutan diadakan setiap tahun ini mempunyai tujuan dan hasrat yang murni untuk memugar sejarah hijrah Rasulullah SAW serta merencana masa depan ummah dan watan.

Peristiwa hijrah ialah langkah pertama dan bersejarah bagi umat Islam membina empayar kegemilangan ke seantero dunia. Peristiwa hijrah bukan sekadar pergerakan manusia secara fizikal atau secara geografi dari Makkah ke Madinah. Sebaliknya, ia peralihan budaya primitif kepada budaya progresif, perubahan kejumudan kepada kemajuan, memusnahkan ketaksuban kepada perpaduan.

Tuntasnya, peristiwa hijrah ialah bukti nyata dan contoh hidup yang menzahirkan falsafah yang tersirat di sebalik apa yang tersurat.

Antara kejayaan terbesar hijrah Rasulullah SAW ialah penggubalan dokumen perlembagaan negara secara bertulis yang pertama iaitu Perlembagaan Madinah. Melalui pembentukan negara Islam ini, baginda berjaya menunjukkan cara pemerintahan Islam yang lengkap sebagai sebuah negara yang aman lagi harmoni, selamat lagi sejahtera, makmur lagi bahagia berpandukan kepada hukum Allah SWT.

Perlembagaan Madinah yang mengandungi 47 Fasal mempunyai enam prinsip utama yang menjadi asas kukuh negara Madinah, iaitu Kedaulatan Undang-Undang, Kebebasan, Persamaan, Keadilan, Kesatuan dan Syura.

Kalimah ‘Rahmah’ diulang-ulang di dalam Al-Quran lebih 300 kali dan satu daripadanya ialah firman Allah SWT bermaksud, “Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa’: 107)

Menurut Ibn Al-Jawzi, kalimah ‘Rahmah’ secara literal bermaksud kasih sayang. Sesuai dengan lafaz lil ‘alamin, konsep Rahmah ini bersifat universal merangkumi semua aspek kehidupan.

Manifestasi Islam sebagai rahmat buat sekalian alam, ditonjolkan oleh Rasulullah SAW sebagai pesuruh Allah SWT. Konsep Rahmah ini ditunjukkan oleh baginda melalui komunikasi harian dengan kanak-kanak, wanita, warga emas, anak yatim, haiwan, termasuk melalui perhubungan dengan masyarakat bukan Islam, dan hubungan diplomasi dengan negara luar.

Hadith riwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA katanya, bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Sesungguhnya Allah menjadikan rahmat (kasih sayang) itu 100 bahagian. Maka dipegang-Nya disisi-Nya 99 bahagian dan diturunkan-Nya satu bahagian untuk seluruh makhluk-Nya. Sekiranya orang kafir mengetahui setiap rahmat (kasih sayang) yang ada di sisi Allah, nescaya mereka tidak akan berputus asa untuk mendapatkan syurga, dan sekiranya orang Mukmin mengetahui setiap azab yang ada di sisi Allah, maka dia tidak akan (menganggap dirinya) aman daripada neraka.”

Menurut Imam Ibnu Kathir, Allah SWT menciptakan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam, bererti Allah SWT mengutuskan rahmat buat semua makhluk. Sesiapa yang menerima rahmat dan bersyukur, maka dia akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang ingkar kepada rahmat Allah dan mengkufurinya, maka dia menempah kesusahan di dunia dan di akhirat.

Sebagaimana luasnya rahmat Allah SWT kepada semua makhluk, begitu jugalah luasnya nilai rahmah dalam kehidupan. Jika anda tercari-cari contoh nyata penterjemahan nilai rahmah, semuanya ditunjukkan dengan jelas melalui akhlak Rasulullah SAW.

Anas bin Malik RA berkata, “Tatkala kami berada di dalam masjid bersama-sama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi, lalu kencing di dalam masjid. Lantas para sahabat Rasulullah berkata, "Berhenti! Berhenti!" Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Janganlah kamu mengherdiknya, biarkan dia." Maka, para sahabat pun membiarkannya sehingga dia puas kencing. Kemudian Rasulullah memanggilnya dan bersabda bermaksud, "Masjid ini tidak sesuai dengan sesuatu perbuatan seumpama kencing dan kekotoran. Masjid ialah tempat untuk mengingati Allah, solat, membaca al-Quran,"atau seumpama itu yang dikatakan oleh Rasulullah. Anas berkata lagi, kemudian Rasulullah menyuruh salah seorang sahabat membawa air, lalu baginda mencurahkan air ke atas tempat kencing tadi." (Riwayat Muslim)

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, etnik, bahasa, budaya dan agama. Kendatipun di Malaysia wujud kepelbagaian yang kompleks, namun keharmonian dan perpaduan sentiasa terpelihara serta terjamin melalui persefahaman bersama dan menjunjung prinsip keadilan. Prinsip adil sentiasa diutamakan oleh Islam sebagai asas utama konsep Rahmah dalam bernegara. Firman Allah SWT bermaksud, “Apabila engkau (wahai Muhammad) menghukum (termasuk pemerintahan), maka putuskan keputusan dengan penuh keadilan, sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang membuat adil.” (Al-Maidah: 42)

Menyedari hakikat kepelbagaian anugerah Allah SWT kepada Malaysia, satu formula yang sesuai dengan konteks Malaysia ialah Model Negara Rahmah. Sebuah negara yang berintegriti, ditadbir urus yang baik, mengamalkan kedaulatan prinsip hukum, masyarakatnya berilmu, berakhlak saling hormat-menghormati, adil dalam mengagihkan kekayaan negara dan memastikan pembangunan lestari.

Terdapat tiga teras utama pembinaan negara Rahmah yang menjadi batu asas menjayakan hasrat ini, iaitu Rahmatan Lil Alamin, Pendekatan Maqasid Syariah dan Model Malaysia. Bagi memudahkan kefahaman dan penghayatan Model Negara Rahmah ini, enam nilai dibentuk untuk menterjemahkan ekosistem pentadbiran Negara Rahmah, iaitu R (Ramah), A (Aman), H (Harmoni), M (Mesra), A (Alami) dan (Hormat).

Ramah bermaksud pentadbiran yang membawa mesej santun, keprihatinan dan peduli; Aman (Pentadbiran yang membawa mesej keamanan, keadilan dan kesejahteraan); Harmoni (Pentadbiran yang menghargai kemajmukan, melestarikan hidup dalam kedamaian serta menjaga hubungan antara kaum dan agama); Mesra (Pentadbiran yang menyediakan keselesaan perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat, memberikan kemudahan tanpa mengenepikan kelompok minoriti dan berinteraksi dengan semua pihak); Alami (Pentadbiran yang membudayakan gaya hidup mesra alam, memelihara, memulihara dan mengamalkan penjimatan tenaga dan cinta alam); dan Hormat (Pentadbiran yang mempunyai nilai prinsip kemanusiaan, kepelbagaian agama dan membina keperibadian yang dihormati dan menghormati sesuai dengan kemuliaan insan).

Satu pendekatan yang komprehensif iaitu pendekatan Maqasid Syariah yang bersifat sejagat, inklusif dan dinamik digunakan untuk memastikan rahmat dan kesejahteraan negara dicapai. Lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mengandungi nilai teras tadbir urus (value based governance) ke arah mencapai matlamat kehidupan dan tadbir urus yang mampan dan lestari.

Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, seharusnya kita mengambil iktibar di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW. Padanya terhimpun seribu satu hikmah yang tersurat dan tersirat. Umat Islam perlu menjadikan Rasulullah SAW sebagai panduan hidup dalam semua aspek kehidupan sama ada hidup berkeluarga, bermasyarakat, urusan perniagaan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Selamat Menyambut Tahun Baharu 1441H. Semoga tahun ini akan memberi kejayaan dan kesejehteraan kepada umat Islam di Malaysia khususnya, dan umat Islam di seluruh dunia.

Penulis adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

91 dibaca
Berita Harian X