Jumaat, 21 Jun 2019 | 11:00am

Keadilan untuk keluarga mangsa MH17

Akhirnya, Pasukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT) menamakan empat suspek utama yang dikatakan bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 di Timur Ukraine selepas hampir lima tahun, kelmarin dan dijangka dibicarakan Mac tahun depan.

Begitu pun, bukan mudah untuk pihak pendakwaan kerana ia perlukan bukti kukuh. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia tetap mahu bukti kukuh sebelum sebarang pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak yang dituduh bertanggungjawab dan Perdana Menteri kurang gembira dengan tindakan pendakwaan terbaharu JIT itu tanpa sebarang bukti kukuh, sebaliknya bermotif politik sejak dari awal lagi.

Wilbert Paulissen dari Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) pada sidang media JIT mengenai siasatan berterusan kemalangan MH17 Malaysia pada 2014, di Nieuwegein, Belanda. - Foto EPA

Apa pun, Malaysia bersama Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia yang sebelum ini mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan tribunal jenayah dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab mengorbankan 298 nyawa itu, perlu senada menuntut keadilan bagi keluarga mangsa MH17.

Apa yang diharapkan ialah Russia memberi kerjasama penuh untuk menyerahkan tiga warganya yang menjadi suspek utama selain seorang warga Ukraine, untuk kita mengukur sejauh mana pembabitan mereka, apabila perbicaraan dimulakan nanti.

Lonjakan ekonomi melalui gagasan kondusif

Gagasan Kemakmuran Bersama yang menjadi falsafah dan tulang belakang kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang prosesnya baru saja dimulakan, harus dibincangkan di semua peringkat.

Pastikan gagasan itu benar-benar berjaya dengan mengutamakan kepentingan rakyat, kerana kita sudah banyak ketinggalan. Negara seperti Singapura sudah jauh ke depan dan kita juga mungkin dipintas oleh Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Jika banyak lagi sektor menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sudah semestinya negara kita akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi. Kita harus juga pastikan kekayaan yang dihasilkan negara dapat diagihkan dengan lebih menyeluruh, meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya mengurangkan jurang ekonomi rakyat tanpa mengira kelas, kaum mahupun wilayah.

Berita Harian X