Jumaat, 29 March 2019 | 11:00am
PASTOR Kristian, Dr Alex Awad (kanan) dan Imam, Sheikh Maher Ibrahim Mustafa Assad hadir pada program ‘Solidariti Islam-Kristian bagi Palestin’ di Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun
PASTOR Kristian, Dr Alex Awad (kanan) dan Imam, Sheikh Maher Ibrahim Mustafa Assad hadir pada program ‘Solidariti Islam-Kristian bagi Palestin’ di Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun

Pastor, imam luah keluhan terkurung di bumi Palestin

Konflik Palestin-Israel lazimnya dilihat membabitkan orang Islam, sedangkan naratifnya lebih luas.

Menyedari hal ini, Gabungan Perikatan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) bersama Pertubuhan Generasi Baru Kristian Malaysia (ANCOM) bergabung menganjurkan program ‘Solidariti Islam-Kristian bagi Palestin’ sebagai tanda sokongan bahawa isu Palestin ini bukan permasalahan keagamaan.

Dalam siri forum dan ceramah bermula 17 hingga 24 Mac lalu, kami bawakan Pastor Kristian, Dr Alex Awad dan Imam, Sheikh Maher Ibrahim Mustafa Assad, kedua-duanya rakyat Palestin untuk berkongsi sendiri dengan rakyat Malaysia pengalaman mereka di bawah jajahan Zionis Israel.

Menurut Dr Alex, sejak 70 tahun lalu, 10 peratus penduduk Palestin beragama Kristian dan kini tinggal dua peratus selepas ramai dibunuh, dipenjara dan menjadi pelarian di seluruh dunia.

Dianggarkan lapan juta rakyat Palestin, Islam dan Kristian menjadi pelarian, terutama di Asia Barat, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Berkhidmat sebagai paderi di East Jerusalem Baptist Church lebih 40 tahun lalu, beliau menceritakan bagaimana pertembungan gerila Yahudi dan tentera Jordan mengorbankan bapanya, memaksa mereka sekeluarga menjadi pelarian di kampung sendiri.

Hidup umpama penjara terbuka

Imam Maher yang berkelulusan Undang-Undang Islam dari Universiti Hebron pula berasal dari Batitullaham dan bekerja sebagai pengaturcara televisyen, selain tugasnya sebagai imam dan juga guru. Beliau berkali-kali menceritakan, hidup di bawah jajahan Yahudi umpama penjara terbuka.

Di Tebing Barat sahaja ada 650 sekatan jalan yang membataskan pergerakan penduduk Palestin selain melumpuhkan aktiviti ekonomi. Pengangguran pula tinggi.

Gaji guru di Tebing Barat hanya 2,000 Syekel (RM2,250), Itupun kalau ada pekerjaan. Berbanding di Israel, guru menerima gaji 10,000 hingga 12,000 syekel.

Beliau pernah dipenjara empat kali tanpa sebab. Prinsip tentera Israel memang kejam, kalau tidak pasti, tembak sahaja tidak kira siapapun, termasuk kanak-kanak.

Bagi rakyat Palestin di Baitulmaqdis, jika keluar dari wilayah itu sukar sekali untuk kembali. Berbeza penduduk Yahudi dari luar negara yang datang ke Israel pula akan diberikan kerakyatan serta-merta.

Tidak hairanlah semua pimpinan tertinggi Israel dan 90 peratus penduduk Yahudi di Israel sebenarnya pendatang, terutama dari Eropah Timur. Bagi menampung jumlah pendatang yang ramai, merampas tanah orang Palestin adalah suatu kebiasaan. Penempatan haram Yahudi di Tebing Barat membiak bagaikan cendawan di tanah Palestin.

Hanya 22 peratus tanah milik Palestin. Kecurian sumber air juga perkara biasa menjadikan ada kawasan kering luar biasa, sedangkan di Baitullaham sumber air bawah tanah cukup banyak. Israel meletakkan pam besar untuk menyedut air dan disalurkan ke Tel Aviv.

Akibatnya, Baitullaham dan kawasan sekitar menghadapi catuan air berbulan-bulan lamanya.

Pastor Alex dan Imam Maher, berkata penduduk Palestin sanggup menerima keamanan menerusi cadangan satu negara atau dua negara (two state solution) serta konfederasi dengan Jordan.

Keadaan itu mencetus dilema Israel, memaksa mereka berpura-pura mencari perdamaian.

Idamkan The Greater Israel

Apa diidamkan Yahudi ditunjukkan pada bendera Israel menerusi lambang bintang David di antara Sungai Nil dan Euphrates sebagai The Greater Israel.

Mungkin kita tertanya-tanya mengapakah masyarakat Kristian di kebanyakan negara, termasuk Malaysia tidak begitu prihatin mengenai isu Palestin.

Pastor Alex berpendapat, mungkin disebabkan rasa bersalah terhadap pembunuhan beramai-ramai Yahudi ketika Perang Dunia Kedua oleh Nazi dahulu, yang rata-ratanya beragama Kristian. Kemunculan Islamofobia secara ketara dihasut media zionis juga menyebabkan mereka memandang serong Islam.

Namun, perkara itu boleh diatasi dengan menyampaikan kebenaran mengenai Islam dan Muslim supaya masyarakat bukan Islam memiliki pandangan lebih seimbang. Katanya, masyarakat Kristian di Malaysia juga perlu cuba memahami isu kemanusiaan sejagat yang berlaku di Palestin.

Penulis merupakan Pengerusi Gabungan Perikatan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN).

Berita Harian X