Ahad, 17 March 2019 | 9:01pm
Dari dulu hingga kini wujud dualistik dalam pertanian iaitu subsektor komoditi industri (sawit dan getah) dan subsektor makanan (tanaman, ternakan dan perikanan). - Foto hiasan
Dari dulu hingga kini wujud dualistik dalam pertanian iaitu subsektor komoditi industri (sawit dan getah) dan subsektor makanan (tanaman, ternakan dan perikanan). - Foto hiasan

Realiti pemisahan komoditi industri, makanan

JIKA melentur prestasi semasa, negara ada enam dekad bukti untuk menerangkan mengapa sektor pertanian kita masih tidak berubah dari segi struktur.

Dari dulu hingga kini wujud dualistik dalam pertanian iaitu subsektor komoditi industri (sawit dan getah) dan subsektor makanan (tanaman, ternakan dan perikanan).

Lumrah ekonomi, sektor maju seperti sawit menarik sokongan kerajaan dan pelaburan swasta kerana pulangan tinggi. Sokongan aktif menjadikan sektor ini kian maju.

Namun, sebaliknya berlaku kepada sektor seperti makanan negara yang kurang maju, kerana sokongan tidak mencukupi. Malah sektor tanaman industri menarik keluar input pertanian seperti tanah, buruh dan modal daripada sektor makanan.

Keluasan sawit meningkat daripada 56,000 hektar (ha) pada 1960 kepada 5.7 juta ha pada 2017. Getah pula menurun daripada puncaknya 1.5 juta ha pada 1976 kepada 670,000 ha kini. Tanaman koko hampir pupus selepas memuncak pada 1989 dengan 414,000 ha.

Tiga pola gelagat ditampilkan komoditi industri. Sawit menunjukkan kelok keluasan bertumbuh eksponen dari tahun ke tahun, namun pertumbuhan mungkin terencat, mendatar atau turun tidak berapa lama lagi apabila batasan tanah mencapai 6 juta ha.

Tanaman getah yang mencapai puncak sekitar 1960-an dan 1970an kian pudar. Ada estet gulung tikar beralih kepada sawit dan kini 95 peratus adalah pekebun kecil. Industri koko pula boleh disifatkan ‘maju dan tumpas’ mirip dialami Brazil sebelum ini.

Jika 1970-an getah dianggap komoditi utama mengambil hampir 60 peratus keluasan tanah pertanian, kini tiga perempat tanah pertanian diliputi kelapa sawit sebagai tanaman tunggal.

Isu mencabar di sebalik kejayaan

Apapun penekanan kepada tanaman industri, ia berbaloi dari segi faedah ekonomi. Sektor ini menyumbang 7.7 peratus keluasan dalam negara kasar (KDNK) pada 2017, dengan nilai tambah bernilai RM90 bilion (RM56 bilion kelapa sawit dan RM15 bilion getah) dan nilai eksport RM140 bilion.

Ia menampung lebih 760,000 pekebun kecil atau hampir 3 juta ahli keluarga.

Kejayaan ini dibayangi isu mencabar seperti kesan kehilangan kepelbagaian bio dalam hutan, kepupusan beberapa spesies haiwan termasuk orang utan, kesan alam sekitar seperti baja kimia kepada tanah dan sungai serta bahan buangan kilang yang disalurkan ke sungai.

Ada juga tuduhan langkah ‘perampasan tanah’ ke atas syarikat perladangan. Sektor ini menggunakan hampir 400,000 pekerja asing, bermakna setiap tahun berbilion wang negara mengalir keluar ke Indonesia dan Bangladesh. Kesatuan Eropah (EU) juga menuduh sektor kelapa sawit merosakkan alam sekitar.

Memerhatikan citra sektor tanaman makanan, dari semua sudut ia berbeza. Kalau keluasan tanah tanaman industri meningkat, tanaman makanan pula kurang 1 juta ha pada 2015. Syer tanaman makanan daripada keluasan tanah pertanian hampir satu pertiga (1960), kini hanya 10 peratus sahaja. Penurunan tidak diiringi peningkatan produktiviti.

Berbeza tanaman industri, tiada kitaran untuk komoditi makanan dan permintaannya berterusan dalam segenap situasi.

Walaupun kehausan tanah, tanaman makanan tetap diperlukan sepanjang masa tanpa mengira turun naik harga atau kejutan pasaran. Apa jenis tanaman makanan sekalipun membawa faedah pelbagai - peluang pekerjaan, pendapatan dan sekuriti makanan penduduk.

Tanaman makanan memperkasakan kepelbagaian bio tempatan. Secara kecil-kecilan, ia membantu pemuliharaan alam seperti tasik, sungai dan hutan sekeliling kebun. Berbeza sawit yang meratakan tanah, lantas merosakkan landskap dan tumbuhan asal kawasan.

Pilihan penumpuan komoditi

Tanaman makanan mewarnakan landskap dengan indah. Kadangkala di kala krisis ekonomi, perusahaan tanaman makanan boleh menjadi sumber pendapatan. Tanaman campuran pula sangat mesra ekologi dan lestari.

Tidak seperti tanaman industri, tanaman makanan hanya memerlukan keluasan kecil. Pulangan per hektar tanaman sayur-sayuran lebih tinggi berbanding sawit dan getah.

Walaupun tanaman makanan memberi pelbagai faedah, industri ini masih belum menunjukkan kemajuan membanggakan kecuali ayam pedaging, telur dan akuakultur.

Defisit perdagangan makanan kian membesar dari tahun ke tahun, mencecah RM19 bilion pada 2018. Hampir semua makanan utama diimport termasuk produk tenusu, daging, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, beras dan gula.

Bukan setakat makanan, input mengeluarkan makanan juga diimport seperti benih untuk beberapa tanaman, baka ternakan, baja, racun perosak dan rumpai, mesin dan jentera malahan buruh.

Mengapa Malaysia tidak mampu menyara makanan untuk penduduknya walaupun ada faedahnya. Kita ada tanah, kepelbagaian bio kedua terbesar di dunia, cukup matahari dan hujan dan prasarana.

Negara bertanah gersang seperti Israel atau kecil seperti Holland dan yang pernah ranap oleh peperangan seperti Vietnam dan Korea, semuanya mampu membangunkan industri makanan untuk penduduknya dengan jaya sekali.

Maksudnya dalam enam dekad lalu, Malaysia memilih mengeluarkan komoditi tidak diperlukan penduduknya, untuk keperluan negara kaya.

Lebihan eksport ini digunakan untuk mengimport makanan, meminggirkan pengeluaran makanan tempatan sebegitu lama. Adakah ini pilihan tepat untuk Malaysia?

Tanaman industri menggembleng faedah berbanding (tanah, cuaca) dan menokok faedah daya saing melalui kajian dan pembangunan (R&D), sokongan fiskal, prasarana dan lain-lain. Sebaliknya berlaku untuk tanaman makanan.

Pemisahan antara dua sektor - komoditi industri dan makanan - merugikan penduduk Malaysia kerana tidak dapat menikmati nutrisi terbaik, di samping faedah kekayaan kepelbagaian bio yang ada.

Jika pemisahan berterusan, kerugian akan membesar dan negara akan bergantung selama-lamanya kepada makanan import.

Penulis adalah Felo Penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan

Berita Harian X