Ahad, 5 Ogos 2018 | 11:05am
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan para peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang selepas beliau melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Padang Kota Lama malam ini.
Turut hadir Isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo. - Foto BERNAMA

Bersatu padu pertahan tanah air bersama

PENEGASAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa tindakan afirmatif masih diperlukan bagi memperbetul ketidakseimbangan dan merapatkan jurang ekonomi memberi gambaran jelas bahawa kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera sebagai bangsa teras negara, tetap menjadi agenda utama kerajaan.

Ini tidak mengetepikan hak bangsa lain, namun sesetengah pihak mungkin sukar menerimanya akibat tanggapan dan kegusaran bahawa ia seolah-olah melanggar prinsip keadilan, apatah lagi dalam konteks landskap baharu politik negara yang sudah berubah.

Langkah pengukuhan ini, sebaliknya ialah instrumen yang paling berkesan dalam menghadapi ketidakadilan sosial, termasuk dalam pengagihan kekayaan, peluang dan keistimewaan.

Ada beberapa perkara yang boleh dirungkai bagi memperbetulkan kefahaman masyarakat mengenai tindakan afirmatif. Pendekatan ini juga dipanggil tindakan positif, diskriminasi positif, reservation, keutamaan, keistimewaan, dorongan, pemangkin, bantuan, galakan dan sokongan.

Ia boleh juga ditakrifkan sebagai suatu tindakan atau dasar yang mengutamakan satu pihak atau kumpulan tertentu, berbanding pihak atau kumpulan yang lain kerana berlaku diskriminasi ke atas pihak berkenaan, sama ada dengan sengaja atau tidak, dengan tujuan supaya diskriminasi berkenaan dihapuskan.

Wujud masyarakat adil

Jelas, tindakan afirmatif dilakukan bertujuan mengawal dan menghapuskan tindakan negatif atau diskriminasi negatif dengan mengatasi dan mencegahnya supaya mewujudkan keadaan kehidupan masyarakat yang adil. Walaupun demikian, tindakan afirmatif bukan asas utama keadilan, iaitu undang-undang dan peraturan, tetapi undang-undang bukan keadilan sejati kerana ia hanya proses dalam melaksanakan keadilan.

Keadilan ialah tunjang utama dan roh kepada undang-undang yang memberikan rahmat kepada masyarakat dengan menghapuskan dan mencegah kezaliman yang menimbulkan kesusahan kepada masyarakat.

Oleh itu, ia memerlukan pemangkin supaya maksud undangundang, iaitu mencapai keadilan tercapai. Pemangkin berkenaan ialah tindakan afirmatif yang berperanan menyokong undang-undang bagi melawan tindakan negatif. Lantaran itu, keadilan menurut Aristotle mempunyai dua maksud yang perlu difahami. Pertama, keluhuran undang-undang dan kedua ialah kesaksamaan yang terhasil daripada kesan undang-undang itu yang menjadi maksud keadilan yang sebenar.

Bagi memastikan bahawa undang-undang mencapai tujuannya untuk menegakkan keadilan dan bukan sebaliknya, mengakibatkan pula kezaliman, tindakan afirmatif berperanan sebagai perimbangan dalam membuat pertimbangan. Dalam konteks Malaysia, tindakan afirmatif bukan perkara asing dalam wacana kepentingan nasional baik dalam politik, ekonomi, mahupun sosial yang banyak berpaksi kepada asas kaum. Kesepakatan yang ditonjolkan oleh bapa pengasas negara dengan mengambil kira nilai kaum, baik kaum majoriti tempatan dan kaum minoriti penghijrah ialah tindakan afirmatif yang sangat jelas.

Jika pertimbangan afirmatif tidak dilakukan, sukar untuk memperoleh kemerdekaan dan mentadbir semula negara selepas sekian lama dijajah. Dengan tindakan positif yang mengambil kira kepentingan semua pihak, masyarakat tanpa mengira asal usul sudah bersatu padu dan berjaya menikmati kemerdekaan. Ini semua hasil daripada kontrak sosial yang disepakati oleh semua rakyat Tanah Melayu pada ketika itu. Dasar positif terpenting ini menjadi asas kepada kemerdekaan dan penubuhan negara yang berdaulat.

Kontrak sosial ialah konsep terpenting dalam mencapai keadilan sosial. Ia terbina daripada asas afirmatif yang menonjolkan jati diri dan asal usul masyarakat serta penentu keabsahan sebarang dasar dan tindakan kerajaan. Socrates, tokoh falsafah Yunani terkenal antara sarjana terawal membahaskan mengenai keadilan dan kontrak sosial seperti direkodkan oleh muridnya, Plato dalam buku Crito.

Baginya, keadilan hanya dapat dicapai dengan memahaminya menurut kefahaman yang benar, bukan oleh tanggapan orang ramai. Kehidupan yang adil dan mulia ialah yang menurut jalan benar, bukan memenuhi tuntutan orang ramai, sama ada menyebelahinya atau tidak.

Patuhi undang-undang

Beliau menjelaskan bahawa rakyat sesebuah negara perlu mematuhi undang-undang yang menjadi teras negara dan perjanjian yang menjadi asas masyarakat serta menerima apa juga kesan terhasil daripadanya, sama ada baik mahupun buruk, pada tanggapan masyarakat. Ia asas yang memberi manfaat kepada masyarakat, sama ada kepada individu atau masyarakat. Sudah pasti, manfaat paling utama yang dikecapi melalui kontrak sosial ialah perpaduan.

Bapa pengasas negara yang sudah membina Persekutuan Tanah Melayu, mendapatkan kemerdekaan dan kemudian mengembangkannya menjadi Malaysia secara muafakat meletakkan asas penting kontrak sosial negara. Ini meliputi pemberian kewarganegaraan, kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera, kedudukan Islam dan kedudukan bahasa Melayu. Inti pati kontrak sosial sudah termaktub secara menyeluruh dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia merangkumi Islam sebagai agama bagi Persekutuan (Bahagian 1, Perkara 3), kebebasan beragama (Bahagian 2, Perkara 11), hak pendidikan (Bahagian 2, Perkara 12), hak kewarganegaraan (Bahagian 3), kedudukan Yang Dipertuan Agong dan Majlis RajaRaja (Bahagian 4), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ada juga rizab kuota bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan, latihan, kemudahan khas, permit dan lesen dalam perniagaan dan perdagangan (Bahagian 12). Dasar afirmatif ini rentetan daripada keunikan jati diri negara yang menjadi asas perpaduan warga.

Agama Islam, bangsa Melayu, bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu ialah teras negara yang perlu dipertahankan, di samping menghormati dan memberi kebebasan kepada agama, bangsa, bahasa dan budaya lain yang menambahkan lagi warna, keistimewaan dan kekuatan negara. Mana-mana negara sekalipun dari timur ke barat juga mempunyai asas, tradisi dan budaya tertentu yang menjadi pegangan. Agama, budaya, bangsa dan bahasa teras, sama ada bertulis secara rasmi atau tidak, ialah asas yang memacu peradaban sesebuah negara dan membina perpaduan utuh dalam kalangan masyarakat majmuk.

Dari mana perkataan Malaysia berasal kalau bukan daripada perkataan Melayu yang memberi gambaran jelas identiti nasional. Bukan susah untuk menjadi rakyat Malaysia. Bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik, berbudi bahasa dalam tutur kata dan kelakuan, berakhlak mulia dan saling menghormati dalam beragama, beradat dan berbudaya cukup untuk menonjolkan keMalaysiaan warganya. Justeru, semua pihak, sama ada kerajaan atau tidak serta rakyat jelata perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka serta menjauhi permusuhan dan membina negara bersama-sama.

Berita Harian X