Rabu, 20 Jun 2018 | 7:03am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Syor wakil mahasiswa dalam Dewan Negara

SAYA mencadangkan kerajaan menimbang bagi melantik seorang senator mewakili golongan mahasiswa di Dewan Negara bertujuan membawa suara mahasiswa secara terus untuk dibincangkan di Parlimen.

Kerajaan baharu Malaysia di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad juga digesa mengambil peduli dan tidak mengetepikan suara dan peranan Gerakan Mahasiswa dalam pelaksanaan dasar dan agenda reformasi kerajaan.

Ia terutama dalam hal ehwal pendidikan tinggi dan pembangunan mahasiswa.

Saya berpandangan sewajarnya Gerakan Mahasiswa harus diberikan ruang seluas-luasnya bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan universiti, serta isu berkaitan kebajikan mahasiswa seperti penyaluran biasiswa, hak kebebasan mahasiswa serta autonomi universiti.

Mansuh AUKU

Cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dalam manifesto Pakatan Harapan juga harus membabitkan penyertaan aktif Gerakan Mahasiswa.

Gerakan Mahasiswa pada pandangan saya lebih bersifat kemahasiswaan berbanding Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dilihat semakin lemau kerana peranan mereka diminimumkan kepada perkara kebajikan semata-mata, jauh sekali daripada idea membangunkan idealisme dalam kalangan mahasiswa.

Gerakan Mahasiswa telah membuktikan sumbangan besar kepada negara menerusi idea awal penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1971 melalui Kongres Kemajuan Islam Se-Malaysia anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Selain itu, gerakan berkenaan juga memberi sumbangan menerusi idea awal penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilontarkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan PKPIM. Saya percaya Gerakan Mahasiswa mempunyai keunikan tersendiri berbanding MPP.

Gerakan Mahasiswa ialah organisasi yang tidak ditubuhkan oleh universiti mahupun kerajaan.

Denyutan nadi rakyat

Ia sebaliknya suatu ketumbukan kekuatan hadir dari denyut nadi kerakyatan yang dipupuk hasil kesedaran untuk menyumbang kepada suasana universiti yang lebih kompeten dan keinginan melahirkan generasi Mahasiswa yang punya ketahanan politik serta watak reformis.

Justeru, kerajaan digesa mengiktiraf sumbangan gerakan mahasiswa dan membabitkan mereka dalam perkara berkaitan kepentingan mahasiswa. Pengiktirafan ke atas sumbangan dan jasa Gerakan Mahasiswa juga wajar dimasukkan dalam sejarah panjang rakyat Malaysia.

Cadangan ini pernah dilontarkan oleh Datuk Saifuddin Abdullah ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada 2012. Sewajarnya cadangan ini diteruskan oleh kepemimpinan terkini.

Aktivis Gerakan Mahasiswa diseru bersama-sama mengambil bahagian menjayakan agenda ini agar sejarah perjuangan kemahasiswaan tidak lapuk ditelan zaman.

Berita Harian X