Sabtu, 26 Ogos 2017 | 7:18am
IKON Rumah Ngaji, Datuk Rosyam Nor (tengah) bararak bersama pendaki anak tangga Menara Kuala Lumpur sebagai simbolik kempen World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour ketika acara 'Climb For #QuranHour' di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Adi Safri

Bacaan Yasin isi acara sambut merdeka

SAMBUTAN Hari Kebangsaan tahun ini lebih bermakna, selain acara wajib seperti perarakan dan perbarisan pada tanggal 31 Ogos, Dataran Merdeka akan bergema dengan bacaan ayat suci al-Quran.

Buat julung kalinya, program Merdeka#QuranHour diangkat sebagai antara 12 acara utama bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 peringkat kebangsaan.

Bermatlamat menghidupkan hati umat Islam yang kian mati kerana kurang menghayati al-Quran, ia boleh dianggap satu kempen perubahan dalam memerdekakan diri, agama, bangsa dan negara secara keseluruhannya.

Secara kebetulan, tarikh kemerdekaan tahun ini jatuh serentak dengan ibadat wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah dan selang sehari selepas itu umat Islam meraikan Aidiladha.

Ia secara tidak langsung menjadikan kempen World #QuranHour tahun ini lebih bermakna apabila mengajak masyarakat menghayati isi al-Quran, pada masa sama menyelami makna kemerdekaan dan pengorbanan dalam konteks yang lebih menyeluruh.

Interaksi dengan al-Quran

Berinteraksi dengan al-Quran menjadi agenda penting dalam kempen #QuranHour tahun ini dengan menjadikan sesi tadabbur dan tazakkur (analisis) surah Yasin sebagai aktiviti utama mengajak masyarakat memahami isi al-Quran.

Surah Yasin dipilih kerana sejak berzaman menjadi amalan masyarakat Muslim di negara ini membacakan surah ke-36 dalam al-Quran pada setiap malam Jumaat. Namun, tidak semua menghayati maksud terkandung dalam surah berkenaan.

Surah mengandungi 83 ayat itu sangat luar biasa dan banyak kupasan mengenai kemerdekaan yang hakiki merangkumi melepaskan diri daripada terjajah oleh nafsu sendiri sehinggalah kepada tanggungjawab mendaulatkan negara.

Apatah lagi dengan pelbagai agenda daripada anasir luar yang cuba meruntuhkan benteng keamanan dikecapi sejak enam dekad lalu, sudah tiba masanya untuk kita bangkit bersama al-Quran sebagai panduan.

Sebanyak tiga acara bersempena #QuranHour akan berlangsung pada 31 Ogos nanti iaitu World #QuranHour pada jam 11.30 pagi bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Tiga acara berlangsung

Di sebelah petang pula, pada jam 5 petang bertempat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, berlangsungnya program Gema Wahyu dengan pengisian bacaan al-Quran secara taranum dan tadarus beramai-ramai.

Ini disusuli acara Gema Takbir di lokasi sama bagi mengajak umat Islam sama-sama bertakbir bagi sambutan Aidiladha.

Kemuncaknya adalah Merdeka #QuranHour di Dataran Merdeka, mulai jam 8 malam membabitkan ahli agama, selebriti dakwah dan artis tempatan bergilir-gilir memperdengarkan bacaan al-Quran diikuti kupasan surah Yasin.

Program World #QuranHour dianjurkan sejak tiga tahun lalu bertujuan menggalakkan umat Islam membaca, memahami, menghayati selain berinteraksi dengan al-Quran.

Kelainan program

Penasihat program Gema Wahyu, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, berdasarkan pengalamannya terbabit dalam kempen #QuranHour tahun lalu, sambutan kali ini lebih luar biasa dan menggalakkan.

"Dijangkakan kehadiran peserta yang akan menyertai kempen #QuranHour meningkat berbanding tahun lalu, apatah lagi difahamkan capaiannya di laman sosial sudah melebihi 219 juta. Saya turut berasa sukacita melihat perkembangan ini kerana keberkatan dan kehebatan al-Quran dipandang tinggi.

"Program ini berprestij kerana diadakan sempena sambutan kemerdekaan negara. Kebiasaannya, diadakan persembahan dan konsert hiburan, berlainan kali ini kerana kita mengajak masyarakat berdamping dengan al-Quran," katanya.

Beliau berkata, diharapkan usaha itu dapat memberi hidayah kepada umat Islam untuk membaca al-Quran dan menjadikannya amalan harian. Program ini juga menjadi landasan mengajak bukan Islam mengenali nilai Islam menerusi terjemahan dan kupasan al-Quran.

World #QuranHour turut mendapat sokongan padu media cetak dan elektronik, sebanyak 14 agensi media termasuk Kumpulan Media Prima Bhd (MPB) memberi kerjasama menjayakan program itu.

Berita Harian X