Sabtu, 19 Ogos 2017 | 6:27am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Jati diri teras perpaduan nasional

Sempena dengan bulan kemerdekaan, setiap warganegara perlu mengulangi rasa kesyukuran. Campur tangan British di Semenanjung Tanah Melayu serta penjajahan Sabah dan Sarawak, pada hakikatnya berpusat pada kepentingan pelaburan mereka dalam aktiviti ekonomi. Kesan campur tangan British di Semenanjung Tanah Melayu misalnya, mewujudkan masyarakat berbilang keturunan dan kepercayaan agama yang selama ini; rakyat Raja hanyalah orang Melayu (termasuklah pribumi) dan Islam sebagai undang-undang watan.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu dimasyhurkan berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1957, kewarganegaraan secara Persekutuan diwujudkan. Justeru, bangsa Melayu, bangsa asal Tanah Melayu bersetuju menerima sama rakyat British yang cukup syarat sebagai warganegara.

Menurut Anderson, 'bangsa' (nation) adalah entiti yang dijelmakan dalam kerangka 'state', tanpa mengambil kira darah keturunan. Perlu dinyatakan bahawa Dr Burhanuddin al-Helmi pernah mencadangkan agar semua warganegara Persekutuan itu dikenali sebagai bangsa Melayu, sesuai dengan kedudukan Tanah Melayu sebagai nama tanah air ini.

Namun begitu, cadangan beliau ditolak kerana jati diri Melayu itu tidak dapat dipisahkan daripada penganutan Islam. Menurut Rekonfigurasi Epistemologi Jati Diri Melayu (2013), bangsa Melayu terdiri daripada penganutan Islam, rakyat raja Melayu, berbahasa Melayu, mengamalkan adat resam Melayu, keinginan menjadi Melayu dan keturunan salah satu pasangan Melayu.

Barangkali kerana terlepas pandang, rakyat British yang datang dari Tanah Besar China dan India masih dipanggil sebagai bangsa Cina dan India, sedangkan apabila mereka menjadi warganegara Persekutuan, pengenalan bangsa mereka sewajarnya Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya (kerana istilah Melayu itu dari sudut perlembagaan disyaratkan beragama Islam).

Sebagai alternatifnya, pengenalan khas mereka boleh dikekalkan melalui etnik, misalnya warganegara Malaysia etnik Hakka, kerana menurut Anderson, 'etnik' adalah komuniti yang dijelmakan dalam kerangka yang terhad iaitu darah keturunan, bahasa, kebudayaan dan agama pada sesuatu 'jenis' kumpulan etnik itu.

Walau apapun, istilah yang digunakan buat masa kini, keharmonian hidup dan ketenteraman awam dalam masyarakat berbilang agama dan keturunan adalah tanggungjawab bersama-sama yang mesti ditegakkan menurut konsep kedaulatan dan kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dua aspek itu dikhususkan di sini kerana mutakhir ini masih ada pihak bertopengkan pejuang hak kesamarataan memutarbelitkan peruntukan Perkara 11 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Lebih malang lagi, kumpulan ini didapati bersuara lantang apabila mempertikai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan hak kebebasan orang Islam untuk beramal dengan ajaran Islam secara syumul. Semua pihak perlu akur bahawa penginstitusian Perlembagaan pada 1957 diabsahkan atas kedaulatan Raja-Raja Melayu dan konsep kedaulatan itu diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka.

Memelihara keharmonian, kesejahteraan rakyat

Justeru, ajaran Islam yang menjadi akidah Raja-Raja Melayu adalah ciri-ciri kedaulatan, disuntik dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, maka dengan itu, kedudukan agama Islam tidak boleh disamatarafkan dengan agama lain di Tanah Melayu. Seterusnya, apabila Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963, peruntukan khas bagi Sabah dan Sarawak dipersetujui, maka sebagai balasan, semua peruntukan lain termasuklah konsep kedaulatan negara menurut Perkara 181 dan Islam sebagai agama bagi Persekutuan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dikekalkan.

Selaras dengan kedudukan di atas, kebebasan beragama bagi orang Islam mempunyai ruang lebih besar dan dibenarkan diskriminasi agama bagi manfaat orang Islam seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Berbeza dengan penganut dan ajaran agama lain, Perlembagaan Persekutuan mengenakan sekatan tertentu, antaranya mereka diharamkan mendakyah orang Islam, menjejaskan konsep kedaulatan Malaysia bersumberkan ajaran Islam, menuntut belanjawan khas bagi tujuan agama-agama mereka, menganjurkan perbuatan yang bercanggah dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Justeru, konsep kebebasan beragama bagi orang bukan Islam dijamin dalam ruang yang dinyatakan. Kedudukan di atas ditetapkan bukan sahaja untuk memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat bermajoriti penganut Islam bahkan mempunyai sejarah perundangan watan yang perlu dihormati. Oleh demikian, seruan untuk mengekalkan keharmonian, toleransi kaum dan agama semestinya dilandaskan atas premis seperti dinyatakan.

Sudah tiba masanya pembinaan jati diri watan warganegara Malaysia diberi penekanan sewajarnya oleh kerajaan. Justeru, pembinaan jati diri watan warganegara atau bangsa Malaysia (tanpa menafikan kewujudan bangsa Melayu) hendaklah berteraskan unsur-unsur watan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, iaitu menghormati Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kesetiaan pada kedaulatan Raja-Raja Melayu, berbahasa Melayu, mengamalkan nilai-nilai murni adat tempatan masing-masing (adat Melayu bagi penduduk Semenanjung Tanah Melayu; bagi penduduk-penduduk Sabah dan Sarawak pula perlu menghormati nilai-nilai murni adat Anak Negeri masing-masing), memiliki perasaan cinta pada Malaysia dan anak daripada salah seorang pasangan warga Malaysia.

Hanya melalui fahaman jati diri watan, perpaduan nasional dapat dibangunkan dan semangat kekitaan warganegara Malaysia dapat ditiupkan secara adil.

Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah

Berita Harian X