Ahad, 9 Julai 2017 | 1:08pm

E-learning lonjak generasi muda minda konvergen

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Tidak dinafikan teknologi memainkan peranan besar kepada perkembangan pendidikan, menyediakan pelbagai kemudahan tanpa sempadan kepada pelajar dan pelbagai aktiviti interaktif memudahkan pembelajaran terutama di peringkat rendah. Minat pembelajaran dapat ditingkatkan dan isi kandungan mudah difahami kerana dapat disampaikan dengan lebih cepat dan berkesan.

Itu antara kelebihan teknologi dalam pembelajaran. Melihat kepada potensi teknologi dalam pembelajaran, syarikat komputer Dell pada 2013 pernah menjalankan tinjauan di China dan Amerika Syarikat (AS) untuk lihat sejauh mana penggunaan teknologi diaplikasi dalam sistem pendidikan dua negara gergasi ini.

Dapatannya mengejutkan. China didapati lebih menyeluruh aplikasinya berbanding AS. Antara penemuan penting ialah China mengintegrasi teknologi dalam hampir semua bidang kurikulumnya dan tidak terhad kepada sesetengah kurikulum yang dirasakan sesuai mempunyai elemen teknologi.

Kedua, pelajar di China juga menggunakan lebih banyak masa menggunakan teknologi di sekolah berbanding pelajar AS. Pelajar di China juga bersetuju guru sekolah mereka lebih maju penggunaan teknologi berbanding mereka. Ini mungkin tidak mengejutkan lagi pada 2017 ini kerana China dilihat antara paling aktif guna teknologi dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan dan pendidikan.

Guna peranti inovasi dalam pendidikan moden

Selain China, Denmark juga adalah antara yang dilihat maju penggunaan teknologi dalam pendidikan. Ada pegawai teknologi maklumat (IT) di United Kingdom (UK) mengakui silibus pengajaran IT di UK jauh terkebelakang berbanding Denmark. Sekolah di Denmark disediakan dengan infrastruktur teknologi maklumat seperti jalur lebar, jaringan tanpa wayar di hampir setiap bilik darjah, berserta papan putih interaktif berserta iPAD untuk setiap pelajar berusia 16 tahun ke atas, guru serta instruktor.

Menurut beberapa kajian dan pelan pembelajaran tanpa sempadan, kaedah baru berteraskan penggunaan peranti moden seperti telefon pintar, tablet, notebook dan seumpamanya dilihat sebagai inovasi dalam dunia pendidikan dan berpotensi memacu pemikiran positif dan kreatif pelajar dalam mempelbagaikan pencarian ilmu secara lebih meluas.

Generasi baharu ini juga pasti tidak kekok dan bersedia menerap ciri pembelajaran lebih bersifat Student Centered Learning di mana selain berupaya menarik minat mereka, ia juga akan memberi impak positif dalam penerokaan ilmu baharu dan pembudayaan penyelidikan pada peringkat lebih awal.

Pembelajaran konvergen banyak dibantu oleh apa yang dipanggil sebagai e-learning. E-learning merujuk kepada pembelajaran menggunakan rangkaian elektronik seperti LAN, WAN atau internet untuk penyampaian kandungan, interaksi atau pemudahcara melalui internet, intranet, TV interaktif atau aplikasi digital.

Bahan pembelajaran e-learning juga mempunyai ciri multimedia seperti audio, visual dan interaktif serta mempunyai capaian bagi bimbingan dan juga perbincangan atas talian. Kemudahan ini memberi kemudahan tanpa sempadan kepada pelajar, di samping memupuk etika pembelajaran tinggi apabila belajar tanpa guru, dengan bantuan teknologi.

Statistik laman sesawang e-learning industry menyenaraikan negara dengan perkembangan tertinggi menggunakan kaedah e-learning teraktif di dunia dan Malaysia tersenarai ketiga dari 10 negara teraktif. India menduduki tempat pertama dan China kedua. Negara lain yang turut tersenarai ialah Romania, Poland, Indonesia dan Brazil.

Cabaran dan strategi pelaksanaan kaedah pembelajaran e-learning berbeza mengikut kawasan persekolahan di bandar dan luar bandar. Faktor seperti kemudahan fasiliti, liputan talian dan kaedah penggunaan perlu diselaraskan mengikut kapasiti sedia ada. Kaedah pelaksanaan bagi tempat yang mempunyai fasiliti terhad boleh disampaikan melalui cara alternatif seperti demonstrasi berkumpulan atau secara giliran.

Kebolehan muat turun dan juga intranet pula dapat menjadi penyelesaian bagi kawasan yang dapat capaian internet kurang memuaskan. Walaupun berdepan kekangan bagi melaksanakan kaedah pembelajaran menggunakan kaedah e-learning, seharusnya semua pelajar perlu diberi pendedahan agar jurang digital kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

Pembabitan semua pihak penting dalam menyokong ke arah pengkayaan pembelajaran guna kaedah e-learning.

Pengurusan masa fleksibel

Kewujudan portal pendidikan oleh agensi swasta seperti sasbadionline, scoreA, pencil.my dan fullAmark, sama ada boleh dilayari secara percuma dan berbayar menyumbang kepada perkembangan kaedah pembelajaran e-learning di Malaysia bagi peringkat sekolah.

Berbeza dengan pembelajaran bagi peringkat tinggi di universiti yang sudah mengamal pembelajaran kaedah e-learning bagi mahasiswa yang mengikuti pengajian jarak jauh dan juga separuh masa. Kaedah pembelajaran e-learning diterima baik mahasiswa dan tenaga pengajar kerana pengurusan masa fleksibel dan memudahkan penghantaran tugasan, perbincangan kumpulan serta memantau prestasi tahap pembelajaran secara peribadi.

Kesimpulannya, kaedah pembelajaran e-learning sangat berpotensi diperluas di peringkat prasekolah sehingga menengah agar seiring kepesatan arus teknologi masa kini. Kekangan sumber dan fasiliti dalam membangun kaedah pembelajaran e-learning wajar ditangani melalui pendekatan alternatif supaya kepenggunaannya meliputi pelajar bandar dan luar bandar bertepatan matlamat kerajaan membangunkan generasi berminda konvergen yang berinovasi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pelajar Sarjana Komunikasi (Pengurusan Media), USIM

Berita Harian X