PADA masa kini media sosial mempunyai sejumlah pengikut yang besar. Dari sudut baiknya ia memudahkan penyampaian maklumat, namun tanpa kawalan media sosial boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada masyarakat.
Antaranya termasuk maklumat sensitif atau tidak benar yang berupaya memecahbelahkan keharmonian masyarakat. Hal ini menyaksikan pengurusan kebanyakan laman sosial mengambil pendekatan untuk mencegah perkongsian isu yang dilihat sensitif. Ia buat menerusi kaedah sekatan atau menyederhanakan kandungan seperti dibuat Elon Musk di Twitter.
Namun, sistem penyederhanaan kandungan automatik mewujudkan pula istilah baharu yang dikenali sebagai 'algospeak', iaitu merujuk kepada satu set kod kata atau frasa yang digunakan oleh pengguna media sosial untuk mewujudkan leksikon selamat. Tujuannya untuk menghalang sistem penyederhanaan kandungan daripada disekat atau diturunkan oleh algoritma sesebuah laman sosial.
Algoritma ini berfungsi sebagai satu sistem atau aturan menetapkan kandungan yang akan ditampilkan pada halaman media sosial berdasarkan kecenderungan minat setiap pengguna. Sebagai contoh, algoritma TikTok akan memaparkan kandungan video 'mukbang' atau makanan jika seseorang pengguna itu kerap menonton hal sedemikian.
Merujuk kepada satu keratan akhbar yang diterbitkan oleh The Washington Post bertarikh 8 April, 2022, penulisnya, Taylor Lorenz menyatakan bahawa 'algospeak' adalah satu cara penggunaan bahasa di laman sosial yang semakin diterima ramai bagi mengelakkan sekatan kandungan atau akaun pengguna di ruang media sosial.
Sebagai contoh, apabila masyarakat membincangkan hal berkaitan isu kesihatan mental, perkataan seperti suicide atau bunuh diri adalah dilarang daripada diterbitkan. Jadi, pengguna media sosial umumnya, akan menggunakan bahasa 'algospeak' seperti unalive atau tidak hidup bagi menggantikan perkataan asal suicide itu.
Cabaran kepada warga pendidik
Menerusi kaedah itu, mereka berjaya mengelak penapisan algoritma daripada menyekat atau menurunkan perkongsian berkenaan.
Namun, apa yang membimbangkan dengan penggunaan 'algospeak' secara meluas, ia boleh mempengaruhi penggunaan bahasa pertuturan di luar konteks media sosial. Misalnya, sebelum ini kita bimbang dengan penggunaan bahasa SMS atau Wechat, yang tangkap muat dan berdasarkan sebutan bukan ejaan standard, hari ini kita mula risau dengan pembudayaan 'algospeak'.
Malah 'algospeak' ini mungkin boleh membawa impak sama atau lebih parah apabila ia membabitkan perkataan yang memberi maksud baharu, tetapi berlainan daripada konteks asal. Contohnya, penggunaan perkataan swimmers atau perenang digunakan oleh golongan antivaksin di Facebook untuk merujuk kepada golongan yang mengambil vaksin. Jika keadaan ini tidak dikawal, akhirnya perkataan baharu seperti swimmers itu akan menenggelamkan maksud perkataan asal.
Hal ini akan tentu sahaja memberi cabaran kepada warga pendidik, terutama mereka yang mengajar subjek bahasa.
Justeru, atas dasar memartabatkan bahasa dan jiwa semua bangsa, kesedaran serta pendedahan perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan penggunaan bahasa yang betul dalam perbualan tanpa mengira medium komunikasi.
Nurul Adilah Mohamed,
Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Terengganu