SUSULAN penularan COVID-19, wajah sistem pendidikan negara sudah berubah. Jika sebelum ini menyebut pembelajaran dalam talian adalah amat janggal, hari ini ia sudah menjadi sebahagian sejarah sistem pendidikan negara.
Jika tidak disebabkan COVID-19, ia mungkin akan kekal menjadi asing kepada sebahagian kita. Namun sebenarnya kaedah belajar dalam talian sudah agak lama dijalankan di negara maju.
Namun di Malaysia, ia masih kekal menjadi perdebatan selain kualiti pembelajaran dalam talian terus diragukan. Justeru, pada peringkat awal pengenalannya di Malaysia, tidak hairan apabila pihak kementerian disaran menimbang secara berulang kali sebelum memperkenalkan pelaksanaan pembelajaran dalam talian.
Bagaimanapun disebabkan pelbagai faktor antaranya mahu membendung masalah keciciran pembelajaran, pelaksanaannya tetap diperkenalkan dan diaplikasikan, bermula pada peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah peringkat universiti.
Maka, kita mula mengenal apakah yang dinamakan Google Meet, Google Classroom dan juga Webex yang sebelum ini tidak pun diketahui kewujudannya.
Susulan itu, sebahagian kita berhadapan kejutan budaya. Tidak kira guru atau murid, kita masing-masing berhadapan kesukaran peribadi untuk mengadaptasi dengan pembelajaran dalam talian. Justeru, berbanding dalam talian, pembelajaran bersemuka dianggap lebih baik. Hal ini kerana interaksi antara guru dan pelajar boleh dibuat secara berhadapan. Ia sekali gus membantu murid untuk lebih memahami silibus yang diajar. Pelajar juga mudah bertanya soalan jika tidak faham selain keadaan persekitaran yang lebih selesa.
Namun, untuk menjadi adil pembelajaran dalam talian pun mempunyai kelebihannya. Antaranya proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih kreatif, interaktif sekali gus menarik minat murid. Hal ini kerana berbanding guru, anak murid adalah generasi muda yang disebut sebagai 'digital native' iaitu mereka lahir dalam pembesaran digital. Jadi, mereka akan lebih tertarik dengan pembelajaran dalam talian. Dalam banyak hal, ia sebenarnya lebih dekat dan sesuai dengan mereka.
Hari ini, dalam situasi semasa yang semakin baik dan COVID-19 yang terkawal, adakah pembelajaran dalam talian masih relevan. Secara jujurnya ia masih relevan. Hal ini kerana kebanyakan guru dan murid sudah mampu menguasai teknik dan kaedah mengajar dan belajar dalam talian. Kita sudah mahir menggunakan pelbagai aplikasi dan melepasi 'zaman sukar' ketika mula-mula belajar dalam talian.
Kita sudah merasakan 'nikmat' belajar dalam talian iaitu mampu mengawal jadual dengan lebih sistematik selain boleh membahagi masa dengan keluarga lebih baik. Malah sebenarnya, bukan mustahil ada sesetengah daripada kita lebih selesa belajar dalam talian kerana memudahkan pengurusan terutama dari segi masa dan juga kewangan.
Nur Syazliyana Mohd Asrul
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my