Sabtu, 31 Disember 2022 | 11:00am
Rakyat perlu bijak mengawal perbelanjaan menghadapi peningkatan kos sara hidup. - Foto hiasan
Rakyat perlu bijak mengawal perbelanjaan menghadapi peningkatan kos sara hidup. - Foto hiasan

Pastikan Bajet Mini 2023 beri impak positif

PADA 20 Disember lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan membentangkan peruntukan khas untuk perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107.7 bilion merangkumi pembayaran gaji penjawat awam, utiliti dan biasiswa, termasuklah bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

Bajet Mini 2023 akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari ini hingga Bajet 2023 dibentang dan lulus di Parlimen. Antara inti pati Bajet Mini 2023 ialah:

  • Bayaran fasa pertama Bayaran Tunai Rakyat RM300 (isi rumah) dan RM100 (bujang) dipercepatkan dari Mac ke Januari 2023.

  • Bantuan awal persekolahan RM150 kepada semua murid tanpa ambil kira had pendapatan ibu bapa pada Januari 2023.

  • Bantuan Khas Kewangan RM700 bagi anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah dan RM350 kepada pesara diteruskan pada Januari 2023.

  • Tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) diteruskan.

  • Bayaran tambahan RM200 Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil pada Januari ini.

  • Menyediakan 50,000 peluang pekerjaan.

    Selain itu, kerajaan berusaha mengawal kenaikan harga barang serta mengekalkan tarif elektrik yang menelan belanja subsidi berbilion ringgit, di samping mengumumkan bantuan RM60 juta untuk pesawah padi melalui Padi Beras Nasional (BERNAS).

    Fokus ringan beban rakyat

    Inisiatif dibentangkan dalam Bajet Mini 2023 menggambarkan keutamaan Kerajaan Perpaduan bagi meringankan beban rakyat pasca COVID-19, menghadapi musim banjir dan jangkaan ketidaktentuan ekonomi pada 2023.

    Namun demikian, Bajet Mini 2023 perlu dilihat di sebalik angka diluluskan. Lebih penting ialah bagaimana Bajet Mini 2023 dapat dilaksanakan dengan efisien, berkesan dan memberi nilai untuk wang sebaiknya.

    Keutamaan sepatutnya diberikan kepada pencapaian hasil (outcome) dan impak terbaik untuk masyarakat serta negara dari permulaan pelaksanaan inisiatif, sepanjang pelaksanaan hingga ke akhirnya. Ini bermakna di peringkat perancangan, setiap inisiatif sudah ada hasil jelas perlu diukur sebelum perbelanjaan bermula.

    Di samping itu, program dijalankan perlu direka bentuk untuk mencapai hasil dirancangkan. Oleh demikian, kaedah uji kaji saintifik boleh dimanfaatkan untuk menambah baik pencapaian hasil. Satu contoh boleh diambil ialah kewujudan Experimental Finland dalam perkhidmatan awam negara Finland.

    Fokus kerajaan untuk menangani kos sara hidup rakyat menjadi panduan jelas kepada inisiatif dibentangkan dalam Bajet Mini dan juga Bajet 2023 akan datang.

    Kita amat mengharapkan usaha Kerajaan Perpaduan meringankan beban rakyat ini dapat diteruskan dalam pembentangan Bajet 2023 kelak dan dapat dirasai manfaatnya oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

    Badlishah Sham Baharin,
    Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

  • Berita Harian X