Jumaat, 7 Oktober 2022 | 11:00am
PENGUNDI muda, (dari kiri) Atiqah Kamaruzaman, 22, S Subramaniam, 27, dan Teoh Jin Ni, 25, menunjukkan jari mereka yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi. - Foto fail NSTP/Salhani Ibrahim
PENGUNDI muda, (dari kiri) Atiqah Kamaruzaman, 22, S Subramaniam, 27, dan Teoh Jin Ni, 25, menunjukkan jari mereka yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi. - Foto fail NSTP/Salhani Ibrahim

Rancakkan kempen tarik anak muda keluar mengundi

Pilihan raya umum (PRU) akan datang bakal mencatatkan sejarah tersendiri kerana buat kali pertama negara akan menyaksikan rakyat Malaysia seawal usia 18 tahun menjalankan tanggung jawab sebagai pengundi.

Berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 yang lalu juga, seperti diwartakan, semua pengundi berumur 18 tahun dan ke atas termasuk mereka yang belum mendaftar sebagai pemilih akan didaftarkan secara automatik.

Ini bermakna terdapat pertambahan kira-kira 6 juta pengundi baharu yang menjadikan jumlah pengundi pada PRU akan datang naik daripada 14.9 juta kepada kira-kira 21 juta pengundi.

Penurunan tahap umur pengundi dan pertambahan jumlah pengundi dilihat sebagai satu perkembangan baik dalam menuju ke arah sistem demokrasi matang.

Namun, kenaikan jumlah pengundi dijangka bakal memberikan implikasi kepada jumlah peratusan keluar mengundi pada PRU-15 kelak.

Pada PRU-13 dan PRU-14 yang lalu, rekod keluar mengundi masing-masing mencatatkan jumlah yang memberangsangkan iaitu sebanyak 85 dan 82 peratus meningkat daripada 76 peratus berbanding PRU-12.

Namun jika dilihat daripada rekod keluar mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Sarawak dan Melaka yang diadakan selepas PRU Ke-14, peratusan mengundi hanya sekitar 60 peratus.

Lebih membimbangkan, peratus keluar mengundi pada PRN terkini di Johor yang diadakan pada Mac 2022, iaitu buat kali pertama mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas boleh keluar mengundi, rekodnya hanya sekitar 55 peratus.

Persoalannya adakah trend ini akan berterusan pada PRU Ke-15 akan datang dan mengapakah perkara ini berlaku? Benarkah anak muda di negara ini acuh tidak acuh untuk mengundi dan tidak mempedulikan soal politik? Atau adakah rakyat secara umumnya sudah berasa jelak dengan isu dan krisis politik negara menyebabkan mereka tidak mahu mengundi pada pilihan raya akan datang?

 Peratusan keluar mengundi menurun 

Peratusan rekod keluar mengundi yang menurun, jika ia berlaku pada PRU akan datang, kesan daripada penurunan tahap umur dan pertambahan jumlah pengundi, bukan satu senario asing dalam arena politik antarabangsa.

Di negara di mana demokrasinya dilihat lebih matang, seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom, peratus keluar mengundi pada PRU adalah hanya kira-kira 60 peratus sahaja. Antara faktor utama adalah kerana pembabitan yang rendah dalam kalangan generasi muda berumur antara 18 hingga 24 tahun.

Namun kajian dijalankan oleh penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Jabatan Perdana Menteri (JPM) terhadap 2000 bakal pengundi berumur 18 tahun dari seluruh negara mendapati 84 peratus menyatakan kesanggupan mereka untuk keluar mengundi pada PRU-15 akan datang.

Hasil tinjauan kajian bagaimanapun mendapati hampir separuh daripada bakal pengundi muda tidak cakna akan status mereka sebagai pengundi yang didaftarkan secara automatik.

Dalam satu lagi kajian oleh penyelidik USIM yang menemu bual 50 bakal pengundi berumur 18 tahun mendapati, 98 peratus daripada responden bersedia untuk menjalankan tanggungjawab mereka pada PRU akan datang walaupun kebanyakan mereka mengakui tidak berminat dengan politik.

 Perkasa tahap literasi politik, pengundian 

Jika dapatan kajian di atas diambil sebagai kayu ukur kepada jumlah generasi muda yang akan keluar mengundi, negara dijangka mampu mengekalkan rekod keluar mengundi yang baik melebihi 80 peratus.

Namun tahap literasi politik dan pengundian perlu diperkasakan dalam kalangan pengundi muda dan pengundi baharu dengan kadar segera. Ia termasuk menyampaikan maklumat asas kepada pengundi baharu berkaitan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), semakan daftar pengundi, lokasi mengundi, bakal calon wakil rakyat dan tarikh pengundian.

Kempen #CakniUndi secara meluas terutama di platform media sosial perlu dilancarkan dengan kadar segera untuk memberikan kesedaran kepada pengundi baharu supaya bersedia untuk bersama-sama membabitkan diri dalam proses demokrasi negara, dengan memilih pemimpin yang mewakili kemahuan dan aspirasi mereka dan pada masa sama mendukung kepentingan rakyat.


Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X