Khamis, 6 Oktober 2022 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

10 idea tambah baik Bajet 2023

Pembentangan Bajet 2023 esok memang dinanti-nantikan ramai. Pelbagai pihak memberikan pelbagai idea dan cadangan diketengahkan sebelum ini.

Mewakili Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, saya terpanggil berkongsi idea demi penambahbaikan Bajet 2023.

Pertama, menambah pendapatan rakyat. Bagi menghadapi keadaan ekonomi semasa, rakyat bergelut mencari sumber pendapatan. Ramai terpaksa melakukan lebih satu kerja untuk memastikan mereka memperoleh pendapatan cukup untuk menyara diri dan keluarga. Kerajaan diharap memfokuskan insentif menambah pendapatan rakyat.

Kedua, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Ketika pandemik melanda, banyak perusahaan ditutup hingga menyaksikan ramai hilang pekerjaan. Ditambah bilangan graduan kian meningkat saban tahun menjadikan peluang pekerjaan semakin sukar diperoleh. Justeru, kerajaan diminta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Ketiga, kebolehtahanan perniagaan. Pelbagai jenis perniagaan bergelut untuk kekal bertahan. Banyak syarikat besar menamatkan perniagaan. Kerajaan perlu memikirkan insentif bertepatan segala jenis perniagaan bagi memastikan setiap perniagaan mampu berdaya saing dan kekal berada dalam pasaran bagi membolehkan ekonomi sentiasa mampu dijana.

Keempat, memperbaiki sistem perlindungan sosial. Perlindungan lebih terhadap golongan masyarakat dari pelbagai aspek sosial dan kehidupan perlu dititikberatkan seperti keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan perlu sentiasa dibaiki khasnya buat golongan berusia dan mudah terancam.

Kelima, membaiki kesejahteraan rakyat. Penyediaan perkhidmatan kesihatan berkualiti perlu dititikberatkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat senantiasa diutamakan. Daripada kesihatan, kita akan memperoleh kesejahteraan lebih baik buat rakyat.

Keenam, bantuan kewangan kepada golongan sasar. Kerajaan diharapkan menyediakan bantuan kewangan untuk membantu dari segi pendapatan khusus kepada golongan B40 dan M40.

Kedua-dua golongan ini perlu diberi perhatian kerana wujud ketidakadilan dalam pembahagian bantuan kewangan dan masalah identifikasi kelas kelompok sasar ini kerana keadaan kewangan dan komitmen dihadapi setiap golongan berbeza.

Ketujuh, menangani masalah inflasi. Banyak perkara harus ditekankan kerajaan bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang disebabkan inflasi.

Kesan inflasi membebankan kehidupan rakyat. Kenaikan gaji dan pertambahan pendapatan seakan tidak berguna apabila inflasi dibiarkan tanpa dibendung. Maka inflasi harus ditangani terlebih dahulu.

Kelapan, menyediakan peruntukan khas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). NGO terbabit dalam penyediaan khidmat kesihatan kepada komuniti harus diberi insentif khas bagi membolehkan terus membantu masyarakat khasnya dalam bidang keperluan seperti kesihatan.

Antaranya seperti NGO memperjuangkan kesihatan mental dan pusat dialisis yang boleh memberi impak baik kepada masyarakat.

Kesembilan, membantu pemulihan ekonomi. Kerajaan seharusnya lebih mesra terhadap komuniti perniagaan dengan menghapuskan pelbagai jenis kerenah birokrasi menyulitkan urusan perniagaan setempat dalam memperoleh kelulusan. Dalam penyediaan bantuan buat perniagaan mahupun kewangan, segala kerenah birokrasi sebolehnya haruslah dipermudahkan.

Terakhir, perkenalkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dijaga. Ini juga akan mewujudkan kesan baik dan kemampanan bukan sahaja persekitaran, bahkan perniagaan lebih sejahtera, lestari serta berdaya saing.

Tan Sri Lee Lam Thye
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat

Berita Harian X