Rabu, 5 Oktober 2022 | 1:15pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Belanja berhemat ketika inflasi, elak tambah liabiliti

Sejak akhir-akhir ini kadar inflasi di Malaysia mengalami peningkatan agak mendadak sehingga menimbulkan keresahan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

Situasi ini diburukkan lagi dengan berlaku peningkatan harga barang, terutama barang keperluan yang naik secara mendadak yang tidak terkawal sehingga masyarakat tidak mampu membeli barangan berkenaan. Hal ini memberi kesan kepada semua golongan, terutama B40.

Di samping peningkatan kadar inflasi, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memberi kesan kepada isi rumah walaupun pendekatan itu menjadi 'tongkat' pertumbuhan ekonomi negara.

Kenaikan kadar OPR baik mengikut senario ekonomi negara pada masa kini, terutama dalam petunjuk ekonomi utama, seperti nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi dan tahap pengangguran.

Kenaikan OPR gugat ekonomi rakyat 

Tetapi dari aspek isi rumah atau pengguna, kenaikan kadar ini tidak banyak membantu isi rumah mendepani senario ekonomi semasa. Kenaikan OPR menjurus kepada kepada kenaikan harga barang keperluan asas dan perkhidmatan yang akhirnya menggugat ekonomi rakyat.

Sebagai langkah mendepani kenaikan harga barang, inflasi dan OPR, isi rumah atau pengguna perlu bijak merancang perbelanjaan supaya tidak terbeban dengan ekonomi semasa.

Komitmen perbelanjaan sedia ada perlu diberi perhatian dan ini menuntut pengguna menetapkan pembelian perlu dan penting sahaja atau menangguhkan pembelian barang yang tidak berapa penting.

Langkah ini bagi memastikan pengguna mempunyai lebihan wang untuk disalurkan kepada simpanan. Pada masa ini, meningkatkan simpanan antara satu aspek penting berbanding berbelanja untuk memenuhi kehendak.

Pada masa sama, rakyat perlu mengelak menambah komitmen perbelanjaan sedia ada kerana pertambahan hutang memberi tekanan kepada sumber kewangan sedia ada.

Perlu difahami, ketika sumber kewangan tidak bertambah, tetapi komitmen bertambah menyebabkan pengguna tidak memiliki lebihan kewangan bagi menampung perbelanjaan.

Sekarang mungkin bukan waktu terbaik untuk isi rumah menambah komitmen dari segi liabiliti memandangkan kadar OPR berkemungkinan meningkat lagi. Maka, pengguna perlu fokus kepada komitmen sedia ada untuk merancang perbelanjaan bulanan atau harian.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Puncak Alam

Berita Harian X