Sabtu, 1 Oktober 2022 | 1:15pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bentang Bajet 2023 isyarat PRU-15 sebelum musim tengkujuh

Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih menjadi teka-teki, ramalan dan spekulasi pelbagai pihak, khususnya dalam kalangan ahli politik.

Beberapa pemimpin UMNO mengharapkan ia dapat diadakan pada Oktober atau November sebelum musim tengkujuh yang diramalkan bermula pada Disember.

Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Oktober ini. Namun, banyak perkara harus diberi perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika mahu mengumumkan pembubaran Parlimen.

Memandangkan September menghampiri ke penghujungnya, sudah tentu ia menuntut pula tindakan segera Perdana Menteri untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan cadangan pembubaran Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mestilah sudah cukup bersedia untuk menjalankan tugasnya dengan sempurna.

Justeru, mengambil kira semua persoalan itu maka ada yang meramalkan kemungkinan PRU-15 akan diadakan pada tahun depan dan ia dianggap lebih sesuai.

Tahun depan dianggap lengkap lima tahun penggal pentadbiran. Namun, kuncinya sekarang di tangan Perdana Menteri. Perdana Menteri mempunyai hak prerogatif menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap PRU-15 diadakan tahun ini juga.

Kenyataan beliau sebelum ini UMNO-BN bersedia untuk meredah banjir jika pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh mengundang kritikan pelbagai pihak. Bagaimanapun Ahmad Zahid menjelaskan 'meredah banjir' hanya satu metafora.

Desakan pemimpin UMNO 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Dusuki, turut mengharapkan pilihan raya diadakan sebelum musim tengkujuh nanti. Desakan pemimpin UMNO ini seolah-olah menggambarkan UMNO-BN cukup bersedia berdepan PRU-15.

Justeru, wujud kemungkinan besar PRU-15 diadakan sebelum musim tengkujuh nanti. Pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini boleh dijadikan asas utama terhadap kemungkinan ini.

Untuk mengelak berlakunya perbahasan berpanjangan, Perdana Menteri boleh terus mengumumkan pembubaran Parlimen selepas pembentangan bajet. Ini pernah dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1999.

Justeru, pengumuman Ahmad Zahid yang Ismail Sabri akan dipilih sebagai Perdana Menteri jika UMNO-BN menang PRU-15 adalah isyarat jelas 'segala-galanya' mungkin berlangsung sebelum akhir tahun ini.

Penganalisis Sosiopolitik bebas

Berita Harian X