Rabu, 28 September 2022 | 11:00am
- Gambar hiasan/Aswadi Alias
- Gambar hiasan/Aswadi Alias

Usaha cegah bencana perlu pembabitan komuniti

Perubahan iklim berlaku pada kadar lebih pantas daripada jangkaan dengan impak dan coraknya menunjukkan bahawa ia berpotensi untuk berlaku dengan lebih teruk.

Perubahan corak cuaca, peningkatan hujan, paras laut, pulau haba yang semakin intensif adalah bukti iklim berubah pantas, manakala kesan pemanasan global secara langsung atau tidak dirasai masyarakat.

Secara umumnya ramai mengetahui dengan jelas bahawa mereka yang paling terdedah kepada kesan buruk perubahan iklim secara amnya adalah komuniti berpendapatan rendah. Disebabkan masalah itu, mereka kurang mampu menyesuaikan diri kerana sudah dibebani oleh ketidaksamaan yang mendalam dan musibah lebih teruk.

Kesan perubahan iklim juga memburukkan lagi kadar kemiskinan sedia ada dan meluaskan ketidaksamaan antara jantina, umur, kelas dan ketidakupayaan. Sebagai contoh, mereka yang terdedah kepada banjir, kenaikan paras air laut dan tanah runtuh akibat hujan adalah golongan miskin. Mereka umumnya menduduki kawasan lebih terdedah kepada bencana dan berisiko tinggi untuk kehilangan perlindungan serta mata pencarian.

Peningkatan hujan mengakibatkan tanah runtuh dan banjir, sungai mendap manakala air banjir yang semakin meningkat menghapuskan tanaman dan mungkin menyebabkan tanah menjadi lembap. Apabila ini berlaku ia sekali gus menjadi cabaran menakutkan bagi mana-mana petani atau komuniti yang tinggal di kawasan rendah.

Malaysia terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir, jerebu, ribut, tanah runtuh dan kebakaran tanah. Banjir tragis di Yan baru-baru ini misalnya disebabkan oleh hujan secara semula jadi, namun banyak tempat dalam negara menyaksikan hujan lebat memburukkan lagi impak bencana buatan manusia misalnya pembalakan tidak mampan selain pembangunan mega di lereng bukit dan kawasan sensitif alam sekitar.

Tanah runtuh akibat pembangunan berlebihan dengan langkah pencegahan bencana yang lemah sangat berisiko apabila berlaku hujan lebat berterusan.

Dalam kes banjir bermusim, ratusan ribu orang setiap tahun kehilangan tempat tinggal dengan kerosakan harta benda dan infrastruktur awam, walaupun dengan langkah-langkah persediaan menghadapi banjir dipersiapkan.

Di Malaysia, beberapa program kesedaran pengurusan risiko bencana, terutama banjir sudah dijalankan agensi berkait. Namun, satu cabaran terbesar bagi pengurusan bencana di Malaysia ialah kebergantungan kepada jentera kerajaan.

Apa yang kita perlukan di Malaysia adalah untuk mempromosikan komuniti mencegah bencana yang mampu menghalang bahaya daripada menjadi bencana. Dalam membangunkan pelan kesediaan, adalah penting untuk membabitkan komuniti dengan pendekatan dari bawah ke atas.

Membabitkan orang ramai dengan memberikan mereka peranan aktif misalnya mengajar kemahiran membaca peta kejiranan, keupayaan untuk bertindak balas pada bencana alam akan dapat dibuat dengan berkesan.

Tan Sri Lee Lam Thye,
Aktivis sosial

Berita Harian X