Selasa, 27 September 2022 | 11:00am
 - Foto L. Manimaran
- Foto L. Manimaran

Kerjasama masyarakat jayakan tiga aspirasi utama perpaduan negara

Berdasarkan kajian dalam Jurnal Perpaduan yang diterbitkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, rakyat Malaysia tanpa mengira latar etnik dan agama tidak teragak-agak mengakui akan mempertahankan negara dengan harta dan nyawa.

Kajian yang membabitkan 666 responden itu turut merekodkan rasa simpati pada keperitan hidup anggota masyarakat yang lain tanpa mengira latar agama dan bangsa. Turut dilaporkan rasa tidak puas hati responden jika isu agama dipolitikkan.

Kajian berkenaan menjelaskan mengenai sisi masyarakat Malaysia yang bukan sahaja penyayang dan mementingkan kedamaian, malah berani mempertaruhkan nyawa serta berkorban harta demi pertahankan kedaulatan negara.

Namun turut dinyatakan juga mengenai rasa ketidakadilan dalam pengagihan sumber material, kedudukan sosial yang diketepikan dan dipinggirkan serta berasa kehormatan tercalar dalam komuniti kaum tertentu.

Masyarakat luar bandar pula berasakan peluang mobiliti sosial mereka semakin menyempit. Ringkasnya, wujud persepsi adanya dimensi sosioekonomi dan politik yang meminggirkan kaum tertentu.

Dalam sebuah negara seperti Malaysia dengan kepelbagaian etnik dan agama, kerajaan perlu sentiasa memperkemaskan agenda perpaduan. Hal ini sudah dibuktikan sejak dahulu, terutama selepas terjadi konflik perkauman pada 13 Mei 1969. Antara usaha dilakukan ialah memperkenalkan beberapa polisi antaranya Dasar Ekonomi Baru, Dasar Sosial Negara, Dasar Keselamatan Negara, Dasar Komuniti Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

 Pemimpin, masyarakat perlu main peranan 

Terkini, Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan tahun lalu yang dianggap payung dalam menetapkan hala tuju kerajaan mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional. Pengenalan semua dasar ini sudah cukup tersusun, namun adakah ia memberi kesan? Misalnya, sejauh mana satu bangsa satu bahasa diangkat sebagai identiti nasional oleh rakyat di negara ini.

Selain itu, adakah semua dasar ini disokong oleh parti politik sedia ada? Adakah mereka membantu membina perpaduan atau menyumbang dalam membangkitkan semangat perkauman?

Dalam hal ini, pemimpin dan masyarakat perlu sama-sama berperanan serta menjayakan tiga aspirasi utama perpaduan negara iaitu membina
rakyat yang menghayati perpaduan, membentuk identiti nasional serta memperkukuhkan ekosistem perpaduan.

Seperti yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara, kesepaduan sosial dan integrasi nasional menjadi prasyarat dalam merintis jalan puncak ke matlamat akhir, iaitu perpaduan.

Wujudnya kesepaduan sosial bukan bermakna tiada perbezaan dan konflik dalam masyarakat, namun hal yang lebih utama, kita meraikannya. Perbezaan bukan masalah, tetapi sesuatu yang boleh diurus menerusi persefahaman dan kepercayaan sesama kita.

Dalam hal ini ia boleh ditangani menerusi perbincangan, dialog dan forum. Aktiviti begini dapat menyebarkan dan menyeragamkan maklumat supaya masyarakat berada dalam halaman kefahaman yang sama.

Pada peringkat kepemimpinan, kesepaduan sosial dapat disuburkan melalui tadbir urus negara yang cekap dan telus. Pembangunan negara perlu lebih terangkum dan adil iaitu dengan memberi keutamaan dalam mengurus kemiskinan dan perangkap mobiliti sosial yang berlaku dalam masyarakat luar bandar.

 Jaga kebajikan, kesejahteraan rakyat 

Usaha menambah baik perlu dilaksanakan secara konsisten hingga setiap golongan dan lapisan rakyat terjaga kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka.

Akhirnya, semua warganegara Malaysia inginkan sesuatu usaha yang benar-benar mampu membawa impak. Hakikatnya impian melihat Malaysia yang lebih baik adalah proses yang bertahap dan konsisten tanpa mengenal lelah.

Justeru, semua rakyat Malaysia tanpa pengecualian harus mengambil peranan dalam perubahan negara. Jika mahu negara berubah, anda perlu mengubah diri terlebih dahulu secara agresif meruntuhkan tembok menghalang perpaduan dan kemajuan.

Basmin Maarof,
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Berita Harian X