Sabtu, 24 September 2022 | 12:40pm
Keharmonian dalam keluarga melahirkan masyarakat stabil dan sejahtera. - Foto hiasan
Keharmonian dalam keluarga melahirkan masyarakat stabil dan sejahtera. - Foto hiasan

Keluarga, masyarakat perlu lapor setiap perlakuan kes dera

INSTITUSI keluarga adalah unit paling asas dan terpenting dalam proses pembentukan sesebuah masyarakat. Jika baik, sejahtera dan bahagia sesebuah keluarga, maka begitulah generasi yang dilahirkan dan dibentuk masyarakat itu.

Kestabilan masyarakat dan kesejahteraan sesebuah negara sering kali dikaitkan dengan sejauh mana keharmonian keluarga dan masyarakat. Keluarga yang sejahtera akan menghasilkan penduduk berkualiti dan produktif.

Sebagai ketua keluarga, kaum lelaki memegang amanah yang sangat besar kerana selain mencari kebahagiaan di dunia, mereka bertanggungjawab memastikan kebahagiaan akhirat buat ahli keluarganya seperti disebut dalam surah An-Nisa ayat 34; 'Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka…"

Berdasarkan ayat berkenaan secara jelas Islam menegaskan mengenai peranan lelaki sebagai suami, bapa, datuk, abang dan adik serta bertanggungjawab kepada ahli keluarga juga wanita.

Apabila mereka berperanan dengan sebaiknya, semuanya teratur, namun jika bersikap tidak acuh banyak masalah akan timbul misalnya penderaan dan keganasan.

Penderaan kanak-kanak, wanita

Dalam konteks kes penderaan dan keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita, ia bukanlah perkara baharu. Misalnya, baru-baru ini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memaklumkan sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara untuk tempoh enam bulan pertama 2022.

Daripada jumlah itu, 707 membabitkan kanak-kanak perempuan dengan 417 adalah kes penderaan seksual. Penderaan kanak-kanak dalam bentuk apa pun memang menyayat hati, apatah lagi jika ia penderaan seksual, terutama ke atas kanak-kanak perempuan yang dilakukan oleh ahli keluarga.

Paling meruntun perasaan apabila individu bertanggungjawab itu ialah bapa sendiri, darah daging dan insan yang diberi amanah oleh tuhan untuk melindungi si anak. Tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan betapa kejinya tindakan itu.

Penderaan seksual yang membabitkan keluarga, terutama bapa kandung amat sukar untuk dikesan kerana pelakunya berada dalam kedudukan amanah dan kuasa terhadap mangsa.

Apabila pelaku itu adalah bapa, aspek kerahsiaan dan hubungan kekeluargaan menambahkan kerumitannya dengan kata lain, mangsa boleh mengalami gejala trauma yang amat kompleks.

Ini termasuk hilang kepercayaan, berasa diri dikhianati, rasa bersalah, takut, kemurungan dan boleh mendatangkan idea untuk membunuh diri.

Gagal jadi pelindung keluarga, anak

Apakah yang mendorong seorang bapa untuk melakukannya? Bapa yang sanggup menodai anaknya sendiri bolehlah disifatkan sebagai seorang lelaki yang mengalami kegagalan teruk dari segi akhlak dan moral.

Dia memilih untuk menekan butang kemusnahan diri, walaupun terdapat banyak pilihan lain dalam hidupnya. Beliau juga gagal untuk menjadi pelindung kepada anak dan keluarganya.

Lelaki seperti ini perlu berdepan dengan hukuman yang ditetapkan membabitkan penjara dan sebatan. Selain itu, jika dia benar-benar menyesali perbuatannya, taubat nasuha perlulah dilaksanakan, malah perlu berdepan dengan mangsa untuk menyatakan kekesalannya.

Selain keluarga, masyarakat juga mestilah memainkan peranan untuk membendung kejadian penderaan ke atas kanak-kanak dan wanita. Simpanlah nombor talian hotline seperti Talian Kasih atau pusat panggilan yang disediakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perbuatan keji dan penderaan dalam apa bentuk pun perlulah dilaporkan. Tindakan ini lebih mulia daripada menyorokkan kejadian atau hanya menuding jari.

Ahli keluarga dan kanak-kanak juga perlu dimaklumkan mengenai perbuatan yang menjurus kepada penderaan, termasuk sentuhan selamat dan tidak selamat.

Rozalli Hashim, Pertubuhan
IKRAM Malaysia

Berita Harian X