Khamis, 22 September 2022 | 12:00pm
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kreatif guna media sosial gilap bakat usahawan

PADA awal kemunculan media sosial misalnya aplikasi TikTok, pengguna lebih terdedah dengan kandungan berbentuk hiburan yang dikaitkan dengan budaya hedonisme.

Namun, selari dengan perubahan semasa, pengguna lebih bijak dan kreatif dalam menghasilkan kandungan lebih berilmiah dan bermanfaat.

Aplikasi itu antara yang yang banyak digunakan di seluruh dunia dengan rekod 689 pengguna setakat Januari tahun ini. Susulan itu ia tidak lagi menjadi medium hiburan semata-mata, sebaliknya digunakan bagi menjana pendapatan.

Disebabkan itu, pengguna dilihat semakin kreatif. Antaranya menghasilkan pelbagai video pendek yang berpotensi meningkatkan jumlah tontonan. Ia secara tidak langsung menambahkan pengikut. Hal ini menaikkan rating pengguna, malah penonton yang teruja turut memberi hadiah maya sebagai tanda sokongan.

Semua itu menjadikan aplikasi berkenaan njadi landasan menarik minat generasi muda menambah ilmu, sekali gus pemangkin untuk mereka mula berjinak ke arah keusahawanan digital dan penjenamaan kendiri.

Antara pengguna aplikasi ini yang meraih perhatian umum termasuk Ume Cikin atau nama sebenarnya Ume Nur Ashikien M Azhar. Beliau seorang usahawan acar ikan masin yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan Robotik dan Automasi, Universiti Teknikal Malaysia, Melaka.

Beliau meraih populariti dengan berkongsi video masakan dan kehidupan hariannya dengan penceritaan bersahaja dan kelakar. Penampilannya yang bersahaja dengan memakai kemeja kotak tanpa perlu tergedik atau membuat kandungan murahan menarik minat ramai penonton dari pelbagai lapisan umur.

Secara tidak langsung, beliau mampu meraih pelbagai sumber pendapatan, iaitu melalui aplikasi TikTok sebagai pencipta kandungan dan usahawan acar ikan masin.

Begitu juga dengan pengguna Sir Ladang atau nama sebenarnya Ridzuan Khalid. Beliau pensyarah bidang perhotelan di Kolej Komuniti Rompin yang aktif berkongsi ilmu mengenai bidang penternakan lembu. Hasil perkongsian video di aplikasi berkenaan, beliau banyak memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburkan diri dalam bidang penternakan lembu sebagai salah satu cabang keusahawanan.

Usaha beliau ini ternyata mengubah persepsi dan membuka mata orang ramai khususnya generasi muda untuk menceburi kerjaya yang dianggap tidak glamor ini.

Dua contoh ini memperlihatkan perubahan medium pendidikan selaras pembangunan teknologi semasa adalah sangat penting bagi menarik minat generasi muda untuk mendalami ilmu pengetahuan dan menceburi bidang keusahawanan digital.

Ia juga menjadikan aplikasi itu menjadi platform dengan kepelbagaian kandungan yang mampu menarik semua lapisan masyarakat. Jika dulu ia menjadi sindiran dan digelar 'platform hiburan yang sia-sia', namun kini boleh dijadikan medan pendidikan dan keusahawanan.

Malah, ia lebih selamat digunakan dengan adanya teknologi algoritma yang mampu mengesan dan menapis segala isi kandungan video jika ia melanggar terma aplikasi dengan unsur eksploitasi terhadap kanak-kanak, ancaman, kekejaman atau kandungan lucah. Semua ini memperjelaskan mengapa ia menjadi aplikasi paling disukai.

Ilinadia Jamil
UiTM Kampus Alor Gajah


Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X