Selasa, 20 September 2022 | 1:15pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Elak kongsi artikel palsu demi tingkatkan imej

Pernahkah anda berkongsi pautan artikel dalam media sosial? Apakah sebenarnya tujuan anda berbuat demikian? Adakah untuk berkongsi dengan orang lain atau sekadar untuk meningkatkan imej peribadi dalam kalangan rakan?

Hal ini tidak mustahil kerana dunia dalam media sosial menyaksikan segelintir pengguna tidak teragak-agak menampilkan sisi lain daripada kebiasaan untuk memperlihatkan mereka lebih baik atau lebih bijak.

Ia bukan hanya pendapat popular, sebaliknya penyelidikan yang dilakukan New York Times mendapati satu lagi kaedah untuk memperlihatkan gaya dan kebijaksanaan adalah dengan berkongsi artikel di laman sosial. Hal itu dikatakan meningkatkan keyakinan diri pengguna, walaupun mereka tidak membacanya sebaris pun!

Sebenarnya keadaan itu bukan asing dan anda tentu saja biasa bertembung dengannya di laman sosial. Menurut kajian sama, daripada 2,500 responden, 6.8 peratus berkata bahawa berbuat demikian bagi memberikan gambaran yang lebih baik mengenai siapa dan kecenderungan mereka.

Menurut kajian sama, hanya 28 peratus daripada mereka yang menyertai tinjauan itu mengakui membaca keseluruhan artikel sebelum berkongsi di rangkaian sosial, manakala 25 peratus lagi mengakui membaca hanya beberapa baris.

Tinjauan juga mendapati mereka yang berkongsi artikel, walaupun tidak membacanya, mendakwa mempunyai persepsi lebih baik mengenai pengetahuan mereka berhubung subjek itu. Malah, mereka beranggapan lebih berpengetahuan mengenainya berbanding orang lain.

Penyelidikan berkenaan juga mendapati apabila seseorang pengguna berkongsi maklumat di media sosial, mereka bukan sekadar berkongsi berita, tetapi imej mengenai siapa dan apa yang diketahui atau dikenali.

Sejauh manakah sebenarnya perkongsian cerita dan berita meningkatkan persepsi diri sendiri? Perlu diakui, berkongsi maklumat memang membuatkan orang ramai berasa lebih yakin. Apatah lagi ia memberi gambaran kononnya seseorang itu berpengetahuan mengenai maklumat yang dikongsi, walaupun mereka sebenarnya hanya membaca tajuk artikel.

Persepsi diri yang cacat ini sebenarnya boleh menyebabkan orang ramai percaya bahawa mereka lebih sah dalam berkongsi maklumat dan memberi nasihat, kadang-kadang membawa kepada penyebaran maklumat palsu. Jadi berhati-hati dengan apa yang anda kongsi.

Segambut

Berita Harian X