Sabtu, 17 September 2022 | 11:00am
Prinsip kesopanan dan kesusilaan mendidik masyarakat peka kepada adab dan etika termasuk ketika menggunakan pengangkutan awam. - Foto hiasan/NSTP/ASYRAF HAMZAH FATHIL ASRI
Prinsip kesopanan dan kesusilaan mendidik masyarakat peka kepada adab dan etika termasuk ketika menggunakan pengangkutan awam. - Foto hiasan/NSTP/ASYRAF HAMZAH FATHIL ASRI

Didik masyarakat lebih cakna prinsip kesopanan, kesusilaan

Sejauh manakah kita menghayati prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan? Kesopanan adalah teras kepada keharmonian dalam sesebuah negara khususnya seperti Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum, etnik dan agama.

Konsep kesopanan ini harus difahami dari semua aspek bukan sahaja menerusi pengamalan tingkah laku, malah corak dan gaya pemikiran supaya falsafah ketimuran dijunjung selama ini dapat dilestarikan dan tidak tercalar dek kedangkalan kita dalam menghayatinya.

Perkara utama yang menjambatani prinsip kesopanan semestinya kerendahan hati dan berdisiplin. Jika rakyat Malaysia berjaya membudayakan prinsip itu, maka terzahir nilai murni ini menerusi tingkah laku sama ada percakapan, pemanduan mahupun penjagaan aspek kebersihan.

Aspek kerendahan hati ini memudarkan sikap ego, bangga diri, sombong serta menunjuk-nunjuk, manakala etos disiplin pula menjadikan rakyat negara ini patuh kepada undang-undang sama ada menerusi aspek agama mahupun sivil.

Mengambil contoh elemen kebersihan, minda masyarakat harus diasuh supaya tidak membuang sampah merata-rata.

Malangnya terdapat segelintir pemandu yang masih membuang sampah keluar daripada kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan impak yang bakal terjadi.

Bagaimanakah jika sampah itu mengundang kecelakaan jalan raya? Perkara ini mungkin dianggap remeh oleh segelintir pemandu, tetapi amat besar natijahnya.

Amat malang sekali jika seorang ayah membuang sampah secara sesuka hati keluar daripada kenderaannya dan anak yang memerhatikan perbuatan itu akan 'dididik' secara tidak langsung lantas berbuat perkara sama dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Pada waktu itu, binasalah segala prinsip kesopanan, kebersihan dan disiplin dalam kalangan rakyat negara ini akibat daripada asuhan yang rosak.

Pada sisi lain, pihak berwajib harus meneliti semula secara rinci modul dan kaedah bagi mengambil lesen kenderaan di negara ini.

Sikap, nilai dan amalan pemanduan harus dititikberatkan dan jika perlu adakan kursus pemanduan yang lebih berimpak.

Perkara ini merisaukan orang ramai apabila terjadi kemalangan jalan raya yang berakhir dengan pergaduhan, kecederaan, malah meragut nyawa. Barangkali rondaan pihak berkuasa perlu ditingkatkan supaya pemanduan rakyat negara ini lebih berhemah dan beretika.

 Membudayakan pemanduan berhemah 

Menerusi aspek psikologi, beberapa papan tanda menggalakkan pembudayaan nilai moral ketika memandu boleh dipasang supaya bertunas kesedaran dalam kalangan pemandu kerana secara praktikalnya, otak manusia akan mengingati sesuatu perkara yang dilihat secara berulang kali.

Sementara itu, prinsip kesusilaan pasti menyentuh aspek moral dan akhlak, iaitu pecahan aspek etika yang sebenarnya wujud dalam diri seseorang berdasarkan keadaan persekitaran, pengajaran mahupun teladan.

Aspek etika ini mendidik manusia menjadi lebih rasional dan berhemah. Mengambil contoh mudah, jika kita menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) dan ternampak wanita sarat mengandung, secara etikanya kita akan memberikan tempat duduk kepadanya.

Namun, terdapat segelintir daripada kita yang berpura-pura tidur supaya dapat terus duduk di kerusi mereka. Dari segi undang-undang, amalan ini tidak salah, tetapi berdasarkan aspek etika, ia amat tidak bermoral dan memalukan.

Justeru, aspek kesopanan dan kesusilaan harus bergerak seiring dalam usaha menjadikan negara ini terus aman dan harmoni.

Sekiranya kesopanan dan kesusilaan tidak bergerak seiring, maka berlaku perkara yang tidak diingini umpamanya pemandu yang memandu amat perlahan dan 'berhati-hati' di lorong paling kanan lebuh raya dengan anggapan pemanduan mereka adalah yang terbaik dan terselamat di negara ini!

Secara tuntasnya, saya menyokong usaha murni Kementerian Pengajian Tinggi dalam menawarkan subjek Penghayatan Etika dan Peradaban di setiap institut pengajian tinggi di negara ini.

Pendekatan ini dapat memanusiakan masyarakat supaya lebih cakna, tinggi akal budi dan berjejak kepada tatasusila serta adat ketimuran.

Dr Mohd Saipuddin Suliman,
Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Berita Harian X