Rabu, 31 Ogos 2022 | 1:51pm
KUALA LUMPUR 23 APRIL 2021. Guru Bahasa Inggeris Randip Kaur berinteraksi dengan pelajar di dalam kelas ketika temuramah di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Cheras. NSTP/AIZUDDIN SAAD
KUALA LUMPUR 23 APRIL 2021. Guru Bahasa Inggeris Randip Kaur berinteraksi dengan pelajar di dalam kelas ketika temuramah di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Cheras. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Wujud jawatankuasa khas laksana, pantau pelan atasi kekurangan guru

BARU-BARU ini Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin mengumumkan berlaku kekurangan 10,000 guru yang memberi impak kepada kesediaan pembelajaran murid di semua sekolah seluruh negara. Namun, adakah semua pihak sudah bersedia menangani isu ini dan sama-sama memberi idea dalam menangani cabaran berkenaan?

Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah melakukan pelbagai langkah mengatasi kekurangan guru, isu ini masih juga belum diselesaikan.

Data KPM menunjukkan kekurangan 10,000 guru di kawasan bandar berbanding 4,732 guru di luar bandar. Data ini merisaukan dan memerlukan langkah segera bagi membendungnya daripada terus berlarutan.

Antara langkah yang boleh diambil termasuk perlunya Pelan Strategik Unjuran Pengambilan dan Penempatan Guru yang diurus dan dipantau oleh jawatankuasa khas bagi memastikan ia menepati keperluan semasa.

Jawatankuasa ini merangka, merancang, melaksana, menilai dan membuat penambahbaikan pendekatan yang diambil supaya isu keciciran penempatan serta persaraan awal guru dapat diatasi.

Kedua, profesion perguruan perlu diangkat dan dikembalikan statusnya sebagai pilihan utama dalam kerjaya.

Model standard guru perlu diperkasa dengan menitikberatkan kelebihan dan kebolehgunaan profesion ini dalam membangunkan modal insan masa depan. Profesion perguruan penting bagi melahirkan bakal pemimpin dan intelektual untuk meneruskan kecemerlangan negara.

Ketiga, institusi atau sekolah perlu dijenamakan semula dengan mengambil kira kemudahan, persekitaran dan pendekatan pembelajaran yang selari dengan perkembangan semasa.

Dunia pendidikan perlu berubah dan kemahiran guru perlu penambahan teknologi digital, pedagogi bestari dan kemahiran insaniah yang tinggi supaya insan yang kalis masa depan mampu dihasilkan.

Pada masa sama, KPM perlu mengadakan perbincangan meja bulat bersama pihak berkaitan untuk menyelaras pengambilan guru dan penempatan supaya tidak berlaku kekurangan guru yang mempunyai jurang besar dalam sistem pendidikan.

Utama kebajikan guru

Paling utama, kebajikan guru perlu diutamakan bagi memastikan kecemerlangan pendidikan diteruskan. Profesion perguruan perlu diberi keutamaan kerana mereka adalah 'tulang belakang' dalam pembentukan generasi masa depan dan gedung ilmu yang amat berharga di semua sekolah.

Setiap penghargaan kepada mereka amat penting bagi membantu kelancaran proses pendidikan berjalan baik dan merealisasikan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta menterjemah Falsafah Pendidikan kebangsaan.

Akhirnya, guru model insan unggul. Guru sanggup berkorban masa, tenaga dan kepakaran sedia ada demi membantu anak didik dalam penyediaan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas dari sekolah rendah, melakukan pemantapan kemahiran di sekolah menengah serta persediaan kerjaya pada peringkat institut pengajian tinggi.

Guru adalah teladan yang menggambarkan kesempurnaan bagi panduan dan ikutan murid di sekolah. Justeru, guru perlu dihormati dan disanjungi oleh anak bangsa kerana tanpa mereka kita tidak boleh membaca, menulis, mengira serta menaakul dengan baik.

Kedudukan mulia guru seharusnya menjadi motivasi untuk anak muda menceburi profesion ini. Ia adalah kerjaya yang disertai dengan niat memandaikan bangsa.

Sehubungan itu, pelajar yang berminat menjadi guru boleh memohon pengajian dalam bidang pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menawarkan ikhtisas pendidikan seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan IPTA lain di samping Institut Perguruan Guru (IPG) di seluruh Malaysia.

Latihan asas perguruan penting bagi melengkapkan calon guru sebelum mereka mengajar supaya pedagogi yang diperoleh berjaya membentuk karektar murid di sekolah kelak.

Di samping itu, laluan kenaikan pangkat sebagai seorang guru merujuk kepada prestasi semasa dan semua guru berpeluang memperoleh kenaikan pangkat tahunan dan skim yang ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jawatan Guru Pakar atau Guru Cemerlang juga boleh dipohon oleh guru apabila mereka mencapai tahap yang terbaik dan layak diperakukan oleh Ketua Jabatan masing-masing di samping penilaian sumbangan mereka dalam dunia pendidikan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X