Rabu, 17 Ogos 2022 | 1:16pm
Bekerja secara separuh masa dapat menambah baik kemahiran insaniah selain membantu mahasiswa mendisiplinkan diri. - Foto hiasan
Bekerja secara separuh masa dapat menambah baik kemahiran insaniah selain membantu mahasiswa mendisiplinkan diri. - Foto hiasan

Manfaat cuti semester timba pengalaman berharga

Pelajar universiti awam (UA) di seluruh negara kini sedang menikmati cuti semester yang panjang sebelum meneruskan semula pengajian untuk sesi akademik baharu yang dijadualkan bermula pada Oktober 2022.

Justeru, ada segelintir pelajar yang memilih untuk memenuhi masa sepanjang cuti semester ini dengan bekerja. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk meluangkan masa sepenuhnya bersama keluarga, malah ada juga yang pergi bercuti atau mengembara bersama dengan kawan.

Apapun, cuti semester sebenarnya memberikan ruang kepada pelajar untuk berehat daripada mengikuti kuliah, menyiapkan tugasan dan menjalani segala aktiviti akademik serta kokurikulum di kampus pengajian.

Namun, mahasiswa disarankan untuk menggunakan 'masa rehat' sepanjang cuti semester yang diberikan dengan aktiviti bermanfaat misalnya bekerja separuh masa. Selain menambah sedikit duit poket, bekerja secara separuh masa juga boleh menambah baik kemahiran insaniah. Pada kesempatan itu juga mereka berpeluang untuk belajar berkomunikasi dengan majikan, rakan sekerja atau pelanggan di tempat kerja. Ia juga dapat membantu mahasiswa mendisiplinkan diri.

Bekerja ketika cuti semester juga memberi pengalaman berharga bagi menyediakan mereka kepada dunia pekerjaan sebenar. Pengalaman yang dikutip ini sangat berharga dan menjadi nilai tambah kepada kumpulan mahasiswa kerana pengalaman sebegitu boleh disenaraikan dalam curriculum vitae (CV) ketika memohon pekerjaan kelak.

Ambil juga peluang dalam tempoh cuti semester ini dengan mengikuti kursus kemahiran. Ia adalah persediaan untuk mendepani pelbagai cabaran mendatang.

Ikuti kursus kemahiran

Mengikuti kursus kemahiran juga membantu pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam kehidupan. Antara kursus kemahiran yang boleh diikuti ialah seperti kelas menjahit, memasak, bertukang, latihan kemahiran teknologi maklumat atau kemahiran penyediaan pastri. Tentu sahaja kemahiran begini membantu menyediakan alternatif untuk mereka menjana pendapatan sekiranya berhadapan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan nanti.

Selain itu, mantapkan pengetahuan asas dengan mengikuti kursus mengenai pengurusan kewangan, asas keusahawanan, kemahiran berkomunikasi dan sebagainya yang disediakan dalam talian. Peluang sebegini perlulah direbut bagi menggilap potensi diri sebagai persediaan sebelum bergraduan.

Nursyuhada' Ab Wahab,

Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X