Khamis, 23 Jun 2022 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Manfaat masa di kampus bina keyakinan diri

Penularan COVID-19 yang bermula akhir 2019 membawa pelbagai kesan untuk setiap penjuru kehidupan. Dalam bidang pendidikan misalnya, pembelajaran dijalankan dalam talian tidak mengira pada apa peringkat pun. Hal ini secara tidak sedar berupaya menjejaskan semangat dan motivasi seseorang pelajar. Kesannya, terdapat pelajar yang mengambil mudah bukan hanya pengajian, tetapi juga pembabitan dalam kokurikulum.

Selama dua tahun penularan COVID-19 berlaku, pelajar selesa belajar dalam talian, justeru masa mereka lebih banyak tertumpu kepada tuntutan akademik. Dalam tempoh itu juga mereka tidak berpeluang untuk menyertai aktiviti kelab atau persatuan di universiti.

Hal ini menyebabkan secara perlahan-lahan terdapat segelintir mahasiswa yang berfikir tiada lagi kepentingan untuk bergiat aktif dalam kegiatan berpersatuan.

Mereka berpendapat masa yang ada lebih baik digunakan untuk fokus kepada kehendak mata pelajaran yang diambil.

Hal ini terbawa-bawa hingga apabila sesi pembelajaran kembali diadakan secara bersemuka. Mereka tidak mahu turut serta terdedah dengan aktiviti kelab dan persatuan.

Tindakan ini merugikan kerana pembabitan dalam aktiviti kokurikulum ini sangat penting sebagai sebahagian persediaan untuk memasuki alam pekerjaan sebaik tamat pengajian.

Pembabitan dalam kelab dan persatuan membuka jalan pembinaan kemahiran insaniah yang hanya dapat dipupuk daripada pengalaman sepanjang mereka bergelar mahasiswa.

Antara kemahiran ini termasuk bekerja secara berkumpulan, keyakinan diri untuk berucap di hadapan khalayak, pemikiran kritikal bagi menjana idea, kepemimpinan menguruskan sesuatu projek dan penyediaan laporan.

Peluang sebegini haruslah direbut pelajar yang bergelar mahasiswa kerana kemahiran yang dibina berpotensi menarik minat bakal majikan. Apatah lagi kebanyakan majikan hari ini menetapkan sesuatu penanda aras bagi memilih graduan yang berpotensi untuk diambil bekerja dalam syarikat mereka.

Setiap bakal pekerja itu bukan hanya dilihat berdasarkan pencapaian akademiknya, tetapi ia mestilah dilengkapi dengan kelebihan lain yang menjadikannya lebih terampil berbanding calon lain.

Justeru itu, mereka yang bergelar mahasiswa harus mengambil peluang sebaiknya sepanjang menuntut di universiti. Bergerak aktiflah dalam persatuan dan kelab. Jangan lihat ia sebagai pembaziran masa, tetapi itu adalah sebahagian peluang untuk memperkuatkan keyakinan diri bagi menempuh cabaran selepas tamat belajar kelak.

Tangkak, Johor

Berita Harian X