Jumaat, 10 Jun 2022 | 10:30am
Gambar fail, sebahagian pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tiba Jeti Feri Kuala Kedah untuk di dibawa ke Depoh Tahanan Belantik. - Foto Danial Noordin
Gambar fail, sebahagian pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tiba Jeti Feri Kuala Kedah untuk di dibawa ke Depoh Tahanan Belantik. - Foto Danial Noordin

Membantu pendatang biar berpada

Sejak sempadan negara dibuka maka berduyunlah mereka yang selama ini menunggu dengan penuh sabar untuk memasuki negara ini atas pelbagai urusan. Selain kemasukan secara halal ada ada juga sebahagiannya adalah pendatang tanpa izin (PATI).

Ketika ini golongan PATI yang menjadi perhatian kita adalah pendatang dari Myanmar yang lebih dikenali sebagai Rohingya. Mereka masuk ke negara ini melalui pelbagai kaedah sama ada jalan laut atau darat.

Jika masuk menggunakan jalan laut dengan bot, ada sahaja cara yang dilakukan bagi memastikan mereka dapat masuk ke negara ini. Misalnya sebelum ini, kita membaca laporan akhbar mengenai kumpulan pendatang Rohingya yang sengaja merosakkan bot bila hampir ke perairan negara atas pelbagai alasan dan minta dikasihani.

Kita pula dengan rendah diri membantu mereka dan kemudiannya membenarkan kumpulan ini masuk ke Malaysia, diberikan penempatan juga makan dan minum.

Selepas sekian lama duduk di Malaysia, ada pula pihak yang dengan mudah memberikan mereka pas atau kad atas status pelarian perang. Malah, ada yang diberi pekerjaan walaupun sebenarnya mereka ini tidak boleh bekerja.

Tidak ada masalah membantu mereka, namun ada kala bantuan diberikan dibalas tuba misalnya, di sesetengah tempat tingkah laku yang gagal menghormati budaya dan amalan penduduk setempat menimbulkan rasa tidak puas hati.

Begitu juga ada laporan mengenai sikap biadab, berlagak samseng yang menggambarkan mereka seolah-olah tidak tahu berterima kasih pada bantuan diberikan.

Seperti kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Menteri Luar sebelum ini, mereka mungkin akan diberi pelajaran selain pekerjaan. Namun timbul soalan, kenapa perlu berbuat demikian sedangkan Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai PATI yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Kita cuma membantu mereka atas dasar peri kemanusiaan sebelum ditempatkan di negara ketiga. Namun, mengapakah pejabat UNHCR di Malaysia seolah-olah menjadi tuan di negara ini dengan memberi sewenang-wenangnya kad status pelarian? Cukuplah penjajah dulu menjadi tuan di negara ini, bertindak sesuka hati.

Namun, dari satu segi kelihatannya kita tidak tegas dalam membuat keputusan. Cuma yang kedengaran adalah ucapan berdegar-degar bermusim tapi sayang ia tidak disertai dengan tindakan konkrit.

Cukuplah dengan kemasukan pendatang dari Indonesia, India, Bangladesh dan lain-lain negara yang memenuhi hampir setiap ruang tanah di Malaysia ini.

Kemudian keresahan rakyat tempatan bertambah susulan cadangan untuk membawa masuk pekerja seramai 500,000 pekerja dari Bangladesh. Tidak cukupkah lagi mereka ini berada di sini? Mengapa tidak memberi ruang dan peluang pekerjaan itu kepada rakyat tempatan?

Buatlah pengiraan secara logik, mustahil dalam 500,000 rakyat tempatan tiada seorang pun yang hendak bekerja. Jumlah itu sangat besar, malah mungkin lebih ramai berbanding penduduk tempatan di sesebuah pekan di Malaysia.

Sepatutnya kita mengurangkan pengambilan pekerja asing ini. Kerajaan perlu membuat keputusan tegas dan cerdas. Sebagai dasar kemanusiaan, kita perlu membantu sesama manusia tetapi berpada-pada dan janganlah hingga dipermainkan. Akhirnya kami rakyat yang perlu menanggung akibat.

Jumlah mereka yang ramai di sini tidak mustahil akhirnya akan mengejutkan kita apabila ada antaranya kelompok itu mungkin tampil menjadi wakil rakyat. Malah, sekarang ini pun mereka sudah ada persatuan sendiri dan mula meminta itu dan ini daripada kerajaan.

Mohd Nor Mahmood,
Kuala Lumpur

Berita Harian X