Rabu, 6 April 2022 | 10:51am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Celik teknologi elak jadi mangsa jenayah siber

Pandemik COVID-19 melanda negara dan dunia meninggalkan pelbagai impak dan kesan ketara dalam kehidupan masyarakat. Ia bukan saja merubah landskap keselamatan dan kesihatan, ia turut mempengaruhi corak dan aktiviti ekonomi di Malaysia.

Walaupun Malaysia kini berada dalam fasa peralihan ke endemik, permintaan terhadap urusan dan aktiviti dalam talian seperti perkhidmatan perniagaan, pembelajaran dan hiburan dijangka terus kekal serta meningkat.

Ekonomi digital memberi nilai tambah pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Walaupun mendapat faedah daripada penggunaan teknologi, impak negatifnya tetap ada. Risiko seperti kes scam, pencerobohan data peribadi serta penipuan dalam dilihat sangat berleluasa. Kes buli dalam talian juga semakin hangat diperkatakan.

Persoalannya, adakah pengguna sedar ancaman risiko daripada penggunaan teknologi sedia ada. Hasil dapatankajian Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan jenayah siber, termasuk penipuan ketika transaksi jual beli.

Ini dapat dilihat daripada perangkaan dikeluarkan oleh internet survey yang mana kes penipuan dalam negara juga meningkat. Jika dilihat trend jenayah siber ketika ini, adalah kesan masalah kewangan dan kurang ilmu pengetahuan terhadap penggunaan teknologi.

Kes buli siber juga turut meningkat. Jika sebelum ini kes buli amat berleluasa di sekolah dan tempat awam, trend terkini kes buli boleh didapati di dalam talian.

Antara kes buli dalam talian adalah ugutan, komen berbaur seksual dan juga tohmahan di ruang media sosial. Pembuli dalam talian diketahui melakukan kegiatan mereka untuk menghilangkan rasa bosan, kurang perhatian ibu bapa serta menunjuk kepada rakan sebaya.

Antara kesan akibat jenayah siber ini menyebabkan mangsa terkesan dari segi fizikal dan mental. Mereka berasa tertekan seperti tekanan perasaan.

Selain itu, pengguna juga akan kurang kepercayaan serta keyakinan terhadap kemudahan pendigitalan dan ini membantutkan misi negara ke arah menjadi hab pendigitalan serantau 2030.

Justeru, pengguna perlu sedar dan berhati-hati ketika menggunakan platform digital. Data peribadi di aplikasi perlu diletakkan kata laluan. Pengguna juga dinasihatkan tidak membuka e-mel spam dan sentiasa berjaga-jaga tanda penipuan dalam talian.

Pendekatan secara menyeluruh amat diperlukan bagi mengatasi jenayah siber bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa. Kenal pasti risiko jenayah siber untuk mengelak terjerat perangkap pelaku.

Khairunnisa' Yussof,

Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Melaka

Berita Harian X