Sabtu, 26 March 2022 | 10:45am
Pegawai perhubungan awam perlu pantas, cekap dalam melaksanakan tugas agar maklumat disampaikan tepat, sahih. - Foto hiasan
Pegawai perhubungan awam perlu pantas, cekap dalam melaksanakan tugas agar maklumat disampaikan tepat, sahih. - Foto hiasan

Tingkat kecekapan pegawai perhubungan awam

Susulan keadaan bencana yang kerap melanda negara sejak kebelakangan ini, pegawai perhubungan awam di sektor kerajaan perlu lebih bersiap siaga dalam menyediakan pelan menanganinya.

Pelan itu juga haruslah disesuaikan dengan organisasi masing-masing, selain ia mesti dilaksanakan sebaiknya. Umumnya pelan sebegitu tidak mempunyai masa yang panjang, selain pegawai perhubungan awam perlu bekerja di bawah tekanan mengikut garis masa.

Selain bencana, keadaan politik sesebuah negara juga memerlukan pegawai perhubungan awam merangka pelan komunikasi strategik. Ia bertujuan mengurus persepsi rakyat terhadap sesuatu dasar dan tindakan kerajaan mutakhir ini.

Hal ini bagaimanapun sangat penting untuk diselarikan dengan perkembangan teknologi semasa. Peralihan teknologi digital misalnya turut mengubah cara bekerja pegawai perhubungan awam. Justeru, mereka perlu menguasainya selangkah di hadapan orang lain selain ia perlu dikelolakan dengan cekap, cepat selain berimpak.

Perkembangan teknologi ini juga menyaksikan pegawai perhubungan awam perlu pantas dan cekap dalam pekerjaannya.

Perlu diperjelaskan, pegawai perhubungan awam adalah nadi yang menggerakkan program promosi dan publisiti sesebuah organisasi. Mereka juga bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan organisasi berkenaan dengan pelanggannya.

Selain itu pegawai perhubungan awam turut bertanggungjawab dalam merangka dan melaksana pelan tindakan komunikasi melalui pengantara media komunikasi strategik berimpak tinggi mengikut kehendak pemegang taruh pada peringkat kementerian, jabatan dan agensi masing-masing.

Justeru kerja ini bukanlah dibuat secara individu. Sebaliknya pegawai perhubungan awam memerlukan pasukan yang mantap untuk menggerakkan organisasi, bermula daripada individu yang kompeten serta mempunyai motivasi kendiri yang tinggi.

Jika anda individu yang bersikap 'suam-suam kuku', tidak boleh berdikari serta sering mempunyai masalah peribadi yang tidak putus-putus, tugas ini perlulah diserahkan kepada orang lain. Justeru bidang kerja ini mungkin bukan pilihan yang serasi dengan anda.

Dalam konteks revolusi maklumat pula pegawai perhubungan awam perlu pantas dan tangkas. Menyingkap sejarah masa lalu Unit Komunikasi Korporat (UKK) setiap kementerian melalui transformasi perkhidmatan pada tahun 2008 bermula dengan medium komunikasi semuka dan media massa.

Kini UKK berkembang menjadi Seksyen Komunikasi Strategik. Ia berdasarkan kehendak lebih mencabar dalam era digital misalnya keperluan analisis isu selain merangka pelan komunikasi strategik yang berkesan.

Kemahiran analisis menjadi keutamaan penyampaian perkhidmatan pegawai perhubungan awam kepada pemegang taruh dan rakyat amnya. Malah ia juga diperlukan bagi menyokong tindakan pantas dalam menangani sesuatu isu berbangkit.

Namun dalam usaha memperkukuhkan kecekapan program latihan pembangunan kemahiran, kementerian dan jabatan umumnya menawarkan tempat yang terhad.

Justeru, pegawai perhubungan awam perlu bertindak proaktif dengan memohon latihan melalui institusi awam lain, yang relevan berdasarkan keperluan pembangunan latihan dan kebolehan mereka.

Hal ini sebenarnya bergantung kepada diri mereka sendiri, apakah modul yang diperlukan, sama ada kursus secara maya atau fizikal. Apa yang penting ia bertujuan membina kebolehan dan profesionalisme pegawai perhubungan awam dalam organisasi masing-masing.

Yosri Abu Mahsin,

Ketua Seksyen Hal Ehwal Korporat, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan

Berita Harian X