Jumaat, 11 March 2022 | 10:15am
Kanak-kanak dan wanita antara yang terkesan dan menjadi pelarian akibat krisis Ukraine-Russia. - Foo hiasan/EPA
Kanak-kanak dan wanita antara yang terkesan dan menjadi pelarian akibat krisis Ukraine-Russia. - Foo hiasan/EPA

Suara kemanusiaan mampu hentikan keganasan berleluasa

Minggu lalu perhatian masyarakat dunia tertumpu kepada luahan Pengarah Eksekutif, Pusat Gerakan Anti Korupsi yang berpangkalan di Kyiv, Daria Kaleniuk mengenai keadaan kritikal yang dihadapi rakyat Ukraine susulan serangan Russia.

Kaleniuk menyatakan hal itu dalam sidang media yang turut membabitkan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. Dalam kesempatan itu Kaleniuk turut mengajukan tuntutan supaya Britain dan negara Eropah lain melaksanakan zon larangan terbang di ruang udara Ukraine.

Ketika ini tiada komitmen keselamatan dizahirkan secara jelas baik oleh Pakatan Atlantik Utara (NATO) mahupun dalam kalangan negara kuasa besar khususnya Britain dan Amerika Syarikat.

Sehingga kini gerakan ketenteraan Russia di Ukraine mengorbankan banyak nyawa dan kelihatannya peperangan masih menjadi alat utama untuk memenuhi cita-cita serta keperluan pihak tidak bertanggungjawab.

Barangkali ini yang menyebabkan Carl Von Clauswitz pengarang buku On War menyatakan bahawa 'peperangan adalah kesinambungan kepada politik dalam bentuk yang berbeza'.

Walaupun kemelut di Ukraine sudah berakar sejak beberapa tahun lalu, akan tetapi konflik ketenteraan pada skala terbuka seperti yang berlaku ketika ini dilihat amat mengejutkan masyarakat antarabangsa khususnya di benua Eropah.

Apatah lagi dampak terbesar daripada konflik ini dapat dilihat menerusi gelombang pelarian yang saban hari meninggalkan Ukraine.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) melaporkan, setakat 5 Mac lalu seramai 1.5 juta meninggalkan Ukraine sebagai pelarian ke beberapa buah negara sekitar.

Krisis pelarian adalah antara dampak penting yang diakibatkan daripada peperangan. Selain kemusnahan ke atas harta benda, kemelut bersenjata di Ukraine ini mencetuskan kebimbangan akan berlaku malapetaka alam sekitar akibat pencemaran nuklear.

Hal ini kerana Ukraine adalah lokasi tragedi nuklear terbesar dalam sejarah manusia yang berlaku di Chernobyl.

Pada ketika ini, media melaporkan beberapa loji serta infrastruktur terdedah kepada risiko tercetus pencemaran radioaktif pada skala yang lebih besar meliputi benua Eropah.

Kebimbangan terhadap krisis pelarian serta kemusnahan susulan daripada pencemaran nuklear menghidupkan nyala rasa masyarakat antarabangsa terhadap kebobrokan peperangan.

Atas sebab itu, keprihatinan terhadap tragedi kemanusiaan yang dihadapi umat Islam di Palestin, Syria, Xinjiang, Kashmir serta Arakan (Rohingya), kembali meningkat.

Keprihatinan ini disatukan dengan kesedaran bahawa krisis kemanusiaan tidak hanya eksklusif dalam kalangan umat Islam sahaja, sebaliknya ia menggambarkan kejijikan peperangan serta keganasan yang boleh diakibatkan daripada krisis bersenjata.

Menarik untuk disorot Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (International Committee of Red Cross) pada Ogos 2018 menerbitkan makalah undang-udang Islam dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi menyelami etika kemanusiaan yang diterapkan Islam ketika berlaku sesebuah peperangan.

Ini meliputi larangan menyerang serta membunuh masyarakat awam, wanita, serta kanak-kanak di samping memusnahkan harta benda, kediaman, rumah ibadah serta alam sekitar.

Kod etika ini tidak mengabsahkan peperangan dilakukan. Sebaliknya etika ini adalah untuk melindungi orang awam serta harta benda daripada kemusnahan yang berlaku jika peperangan tidak dapat dielakkan.

Hakikatnya Islam adalah agama yang sejahtera serta mengutamakan keamanan dalam setiap interaksi dan urusan dilakukan. Justeru, jalan damai tetap diutamakan untuk menyelesaikan masalah.

Atas sebab itu sebarang bentuk peperangan serta apa juga keganasan perlu ditentang. Suara kemanusiaan terbukti mampu menjadi kuasa keramat yang boleh menarik perhatian dunia dan menghentikan keganasan daripada berleluasa sekali gus mengakibatkan kehancuran terhadap peradaban manusia.

Mohd Firdaus Md Hamsin,
Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan

Berita Harian X