Jumaat, 28 Januari 2022 | 11:01am

Tampuk kepemimpinan bawa bersama harapan rakyat

Prestasi dan kualiti pengurusan sesebuah organisasi memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kejayaan yang akan dicapai. Semakin kukuh kerjasama terbina dalam kalangan ahli, bertambah mudah untuk ia mencapai matlamat organisasi.

Bermula daripada peringkat yang paling asas sehingga ke barisan teratas, setiap tampuk kepimpinan sebenarnya hanya perlu menggunakan kata kunci serupa iaitu kerjasama dan keadilan.

Ia disebabkan mereka bukan sahaja membawa nama organisasi itu tetapi juga menggalas suatu beban amanah yang dipanggil harapan daripada golongan bawahan.

Hal ini turut terpakai dalam pengurusan negara yang diterajui ahli politik. Mereka seperti yang diketahui akan rancak menjelang musim pilihan raya. Kita melihat mereka masing-masing berkempen dan menabur janji untuk memancing undi. Masing-masing mahu meraih kejayaan, namun adakah mereka sedar, tanggungjawab selepas kemenangan itu sebenarnya hal yang paling utama.

Rakyat sudah lama sedar mengenai tanggungjawab memilih pemimpin setiap kali tiba musim pilihan raya. Mereka akan keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab. Pemimpin yang dipilih perlu melihat semua itu dan menyedari harapan rakyat.

Justeru, sebagai pemimpin, hal yang perlu mereka utamakan adalah keadilan, keprihatinan terhadap rakyat dan kehidupan bermasyarakat bersatu-padu serta harmoni. Hal itu adalah jauh lebih baik untuk diperjuangkan berbanding dengan perkara lain. Ahli politik perlu ingat bahawa rakyatlah yang memilih mereka, maka wajarlah untuk mencurahkan bakti.

Susulan daripada itu, sudah tiba masanya pemimpin untuk membentuk pemikiran yang lebih matang dalam menghasilkan sebarang keputusan berkaitan rakyat. Sememangnya sukar memuaskan hati dan kehendak setiap lapisan masyarakat tetapi sekurang-kurangnya buatlah keputusan yang menyebelahi situasi rakyat terbanyak.

Apatah lagi dalam keadaan suasana pandemik yang memberi kesan bukan sedikit tetapi hampir setiap inci kehidupan. Misalnya jika anak-anak berhadapan kesukaran untuk belajar dalam talian, maka kerajaan perlu memikirkan dan melaksanakan kaedah terbaik mengatasinya. Berikan bantuan sepatutnya bagi memudahkan capaian internet misalnya.

Sebenarnya terdapat pelbagai isu yang melingkari kehidupan rakyat terbanyak susulan merebaknya COVID-19. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan negara membincangkan dan menganalisa semua itu bagi mengambil langkah dan keputusan terbaik demi rakyat.

Walaupun pilihan raya sudah berlalu, tetapi ingatan dan janji terhadap rakyat tetap perlu ditunaikan.

Suaidah Zainal

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X