Jumaat, 28 Januari 2022 | 11:00am

Mahasiswa perlu bersemangat pulang ke kampus

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah satu inisiatif mega yang dilaksanakan untuk mengekang penularan wabak COVID19. PKP dilihat amat berkesan walaupun mengambil jangka masa agak lama untuk memulihkan keadaan di negara ini.

Melalui inisiatif itu, pelbagai mekanisma dirangka kerajaan untuk memastikan matlamat pelaksanaannya tercapai. Ini termasuklah menetapkan semua institusi pengajian dalam negara untuk melakukan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Bermula Mac 2020, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sudah mula menjalankan PdP secara dalam talian dan diarahkan untuk pulang ke kawasan halaman masing-masing kerana universiti akan ditutup secara berperingkat.

Pada peringkat awal, arahan ini dilihat menyusahkan mahasiswa atas beberapa faktor seperti rangkaian internet di kampung yang tidak memuaskan, selain persekitaran pembelajaran tidak kondusif seperti kebiasaannya di kampus.

Pada peringkat awalnya, mereka mengadu tidak merasa semangat untuk mengharungi kuliah kerana merasakan PdP secara dalam talian dilihat lebih membebankan. Namun begitu, selepas hampir dua tahun pelaksanaan PKP, pembelajaran secara dalam talian dilihat sudah menjadi kebiasaan.

Kini, IPT mula dibuka secara berperingkat dan membenarkan pelajar pulang ke kampus untuk menjalankan kuliah secara bersemuka atau hibrid. Kebanyakan universiti juga sudah bersedia untuk menerima semula kemasukan pelajar secara berperingkat yang dijangka bermula Mac depan selaras dengan kehendak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Namun, pelajar pula dilihat sudah selesa dengan suasana pembelajaran dalam talian. Kaedah itu kelihatan lebih praktikal memandangkan gejala COVID-19 masih belum reda sepenuhnya. Berada di rumah juga bererti beban masalah kewangan berkurangan kerana pulang ke kampus memerlukan belanja yang sangat tinggi terutamanya untuk mencari tempat penginapan sepanjang pengajian.

Bagaimanapun, ada juga pelajar yang teringin untuk berada di kampus memandangkan sejak mendaftar belum menjejakkan kaki ke universiti. Mereka ingin menikmati suasana pembelajaran secara bersemuka walaupun sudah berada di semester akhir pengajian.

Dalam hal ini penting untuk universiti memikirkan pendekatan bagaimana membina semula semangat pelajar untuk pulang ke universiti supaya suasana kampus kembali meriah. Namun, dalam masa yang sama, prosedur operasi standard (SOP) tetap terkawal dan dititikberatkan demi kesejahteraan warga kampus.

Ibnu Abas Sufian

Tanjung Malim, Perak

Berita Harian X