Sabtu, 15 Januari 2022 | 10:30am
Hampir seluruh kehidupan manusia berkait dengan perhubungan melalui jaringan internet. - (Foto hiasan
Hampir seluruh kehidupan manusia berkait dengan perhubungan melalui jaringan internet. - (Foto hiasan

Mendepani cabaran komunikasi digital

Pada zaman digital ini, hampir seluruh kehidupan manusia adalah berkait dengan perhubungan melalui jaringan internet yang menjadikannya berkembang sangat pesat.

Negara maju terus mencatat pencapaian dan perkembangan komunikasi digital yang sangat progresif serta canggih bagi kemudahan rakyatnya dalam urusan harian, selain memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi.

Korea Selatan misalnya, menjadi antara negara dengan bandar pintar yang mengaplikasikan teknologi digital dalam urusan harian rakyat, khususnya dalam pengangkutan awam, perniagaan, keperluan perkhidmatan sosial awam dan urusan transaksi wang.

Perkembangan serupa juga lama-kelamaan akan tiba ke negara sendiri. Adakah nanti, kita mampu mengharungi cabaran sebagai sebuah negara digital yang maju? Apakah cabaran yang menanti kita pada tahun baharu ini dalam perkembangan komunikasi digital ?

Antara cabaran yang perlu diatasi dalam memperkasakan komunikasi digital negara termasuklah kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

Misalnya, pada 31 Disember 2021, jaringan internet 3G sudah ditamatkan dan beralih kepada 4G, namun ketika ini kerajaan sudah mengumumkan pelaksanaan 5G melalui projek yang dikendalikan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi semua telekomunikasi digital di Malaysia.

Susulan itu, penyediaan perkhidmatan 5G bakal melakar landskap teknologi baharu dan menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik dan pantas. Apa yang perlu dilihat adalah hasrat perkembangan komunikasi digital mempengaruhi kos pembelian peranti baharu dan kenaikan harga bil rangkaian internet yang tinggi.

Hal ini ditambah dengan beban perbelanjaan dan kos barangan yang semakin meningkat. Ia sekali gus boleh mempengaruhi jurang penggunaan masyarakat bandar serta luar bandar terhadap komunikasi digital.

Isu kos sara hidup yang semakin meruncing khususnya di tahun 2022 ini menyebabkan kesukaran rakyat untuk beralih ke penggunaan media digital dan keperluan aplikasi yang baharu serta berteknologi tinggi.

Selain itu, perubahan dalam politik dan dasar pembangunan komunikasi digital sedia ada juga mampu menjadi cabaran besar. Politik di Malaysia sentiasa mempunyai cerita tersendiri dan kadangkala membawa kepada ketidakstabilan pemerintahan. Perkara ini sangat merugikan rakyat dan negara kerana ia sangat memberi kesan kepada pelan sedia ada yang sudah dirancang. Ia turut mempengaruhi kepercayaan pelabur luar terhadap ekonomi negara.

Pelan negara ke arah negara komunikasi digital yang mampan mungkin terbantut jika pelaksanaannya setiap tahun terganggu dengan perubahan kehendak politik dan kepemimpinan yang tidak konsisten objektifnya.

Sesuatu dasar tidak dapat berkembang dengan baik dan lancar jika berlaku ketidaktentuan pemimpin dan politik. Keperluan pentadbiran yang stabil amat diperlukan supaya negara terus membangun dan maju. Dalam hal ini, membawa kita untuk berfikir adakah tahun 2022 ini pemimpin kita sedia untuk bekerja keras dan memperkasakan pembangunan komunikasi digital demi rakyat dan negara.

Dhaifanzufar Dazuka
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Berita Harian X