Khamis, 13 Januari 2022 | 10:30am
Orang awam dan NGO banyak membantu mangsa banjir selari dengan slogan ‘kita jaga kita’. - Foto hiasan/NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Orang awam dan NGO banyak membantu mangsa banjir selari dengan slogan ‘kita jaga kita’. - Foto hiasan/NSTP/AMIRUDIN SAHIB

Kepercayaan rakyat dikhianati akibat tiada integriti

Dalam segala hal, kita perlu akui undang-undang mempunyai kuasa yang besar menentukan seseorang itu bersalah atau tidak, walaupun mungkin ada kala keputusan dijatuhkan dilihat sebagai 'tidak adil'.

Hal ini cenderung terjadi apabila membabitkan individu dikenali atau dianggap mempunyai 'kabel' kuat dengan pihak atasan atau pihak berkuasa.

Justeru, sebagai manusia yang berasa dizalimi kita mudah untuk beranggapan bahawa undang-undang hanya sebagai satu bentuk penindasan, juga kezaliman dan menjadi boneka semata-mata menyelamatkan kroni sendiri.

Sering kita dengar kata-kata seperti 'rakyat hakim negara', 'makkal sakthi' atau 'kuasa rakyat' yang berpihak kepada rakyat. Bagaimanapun, laungan itu seakan tidak membawa apa-apa makna kepada pihak yang ditujukan.

Namun, tunggulah waktu hampir pilihan raya umum nanti, rakyat akan dihidangkan dengan pelbagai janji yang dipanggil manifesto parti yang bertanding.

Waktu itu, kita dapat lihat banyak yang berpihak kepada kebajikan rakyat atau bahasa lainnya manis mulut atau mengampu untuk meraih satu undi.

Sayangnya, apabila menang, berkuasa dan bergaya, segala janji yang ditaburi seakan tidak dipeduli lagi.

Akhirnya rakyat juga yang terpaksa 'membanting tulang' untuk kelangsungan hidup, memperjuangkan apa yang dihadapi bersama-sama anggota masyarakat lainnya seperti tanda pagar yang sering digunakan di media sosial ketika ini iaitu 'rakyat jaga rakyat' atau 'kita jaga kita'.

Misalnya pada 5 Oktober 2021, Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 dilancarkan bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan pelbagai pihak terhadap bencana khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut.

Bertemakan 'Keluarga Malaysia Siaga Bencana', kesiapsiagaan bencana harus bermula dari rumah dan memetik kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, ia menjadi tanggungjawab setiap individu kerana semua orang mempunyai risiko terhadap potensi bencana.

Susulan itu, seperti kenyataan yang dilaporkan media, pihak kerajaan sentiasa berusaha memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dilaksana lebih cekap supaya mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan sewajarnya.

Namun, kenyataan sedemikian tidak berlaku seperti sepatutnya. Bantuan daripada pihak kerajaan amat lambat diperoleh ketika bencana melanda. Pasukan keselamatan di bawah unit Agensi Pengurusan Bencana Negara juga tidak laju bertindak.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebaliknya lebih awal melakukan khidmat mereka. Malah orang awam tampil memberi bantuan menguatkan lagi rakyat prihatin nasib rakyat.

Begitulah pada akhir 2021 dan awal 2022, beberapa kawasan di beberapa negeri dilanda banjir yang di luar jangka.

Tentunya kerosakan yang terjadi itu disebabkan tangan manusia yang rakus lagi lahap itu seperti diingatkan dalam al-Quran: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." Surah ar-Rum, ayat 41.

Banjir adalah satu daripada isu yang kita sedang hadapi hari ini di samping banyak lagi hal lain melingkari.

Bermula dengan pertukaran teraju dalam kepemimpinan negara yang kerap, pandemik masih tidak nampak noktahnya, kes Adib yang tiada pengakhirannya, banjir tanpa solusi, rasuah berleluasa, isu balak yang mencurigakan dan seribu satu hal lain.

Tidak terkecuali isu Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015, seoperti laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, iaitu 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016.

Semua hal ini perlu 'diaudit' dan carilah solusi terbaik. Tentu dalam segala situasi, berusahalah menilai kembali kewajaran dan rasionalnya tindakan supaya ia tidak terus membawa kepada lebih banyak kerosakan yang terpaksa ditanggung rakyat.

Seperti peribahasa yang sering digunakan 'harapkan pegar, pegar makan padi', begitulah tamsilan yang dapat dikaitkan dengan kepemimpinan yang melanda negara kini. Rakyat meletakkan kepercayaan kepada yang di atas memilih pemimpin, akhirnya diingkari.

Sampai bila segalanya ini akan berakhir jika pihak yang sepatutnya gagal menanganinya dengan tegas dan prinsip integriti jelas?

Atriza Umar,
Kuala Lumpur

Berita Harian X