Rabu, 12 Januari 2022 | 11:01am

Budak Rohingya dieksploitasi mengemis di jalanan

Video tular yang dikongsi pengguna TikTok memaparkan tingkah laku samseng seorang kanak-kanak dipercayai etnik Rohingya mungkin lucu bagi sesetengah orang.

Sungguhpun video berkenaan menyampaikan mesej mudah iaitu telatah seorang budak mengugut orang ramai kerana tidak mengendahkannya yang meminta sedikit sumbangan, hal ini menggambarkan wujud sekurang-kurangnya dua krisis di negara kita iaitu pelarian Rohingya dan eksploitasi kanak-kanak.

Berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), 103,090 daripada 150,000 pelarian Myanmar di Malaysia yang berdaftar adalah daripada kumpulan etnik Rohingya.

Sungguhpun berdaftar dengan UNHCR, hakikatnya mereka tetap dianggap sebagai 'pendatang tanpa izin yang berdaftar dengan UNHCR', bukannya sebagai pelarian yang perlu dijaga kebajikan mereka oleh kerajaan Malaysia.

Alasan yang kerap kali digunakan kebelakangan ini oleh pihak anti-Rohingya ialah Malaysia tidak turut sama menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, mahupun Protokol 1967.

Sebelum ini, Malaysia sedaya upaya membela nasib kumpulan itu, namun perubahan suhu toleransi rakyat tempatan sejak 2020 lalu terhadap pendatang asing, terutama terhadap etnik Rohingya, mengubah pendirian kerajaan.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 pada 2020, Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia tidak boleh lagi menerima pelarian Rohingya.

Beliau juga menyatakan bahawa 'tidak adil' untuk dunia mengharapkan sesuatu yang berlebihan lagi dari Malaysia untuk membela nasib pelarian Rohingya.

Perubahan pendirian politik kerajaan Malaysia itu mengubah kedudukan Rohingya di negara ini. Apatah lagi, Malaysia bukan ahli Konvensyen Pelarian 1951. Hal ini mengukuhkan lagi sentimen dan penguatkuasaan berasaskan rasa takut atau benci (xenofobia) yang terus-menerus menindas mereka.

Sebagai contoh, jika dahulu pelarian Rohingya di Malaysia boleh bekerja di beberapa sektor tidak formal seperti pekerja gaji bawah minimum di Pasar Borong Selayang, namun xenofobia menyebabkan mereka tidak lagi dapat berbuat demikian.

Akhirnya, mereka terus terdesak untuk hidup mencari rezeki dengan bermaruah, menyebabkan mereka menggunakan apa sahaja cara bagi mendapatkan rezeki.

Kita sudah sedia maklum bahawa isu eksploitasi kanak-kanak untuk mengemis di jalanan bukan sesuatu yang baharu dan kini pemandangan kanak-kanak Rohingya sebagai peminta sedekah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur juga semakin ketara. Hal ini menggambarkan ada petunjuk situasi kemiskinan kumpulan etnik Rohingya di Malaysia yang semakin mendesak sehingga memaksa kumpulan kanak-kanak etnik itu juga dieksploitasi untuk sesuap nasi.

Situasi kehidupan mereka tanpa status yang sah di sisi undang-undang Malaysia itu amat tidak terjamin. Ketidakmampuan untuk mendapatkan pekerjaan dan tahap pendidikan yang rendah dan hampir tiada menambahkan lagi kompleks tingkah laku, terhasil daripada taraf sosio ekonomi itu.

Justeru, hal inilah yang mendorong mereka melakukan apa-apa sahaja untuk terus hidup walaupun membahayakan diri orang lain dan diri mereka sendiri, termasuk kanak-kanak.

Maka, apabila kita membincangkan mengenai budak Rohingya samseng itu, cuba kita fikirkan kembali dan letakkan diri kita pada tempat mereka.

Video itu mungkin lucu, namun tindak balas orang ramai yang buta akan isu yang lebih serius daripada isu adab ini amat memalukan.

Malah, sebaliknya apakah pendirian yang sepatutnya kita pegang bagi memastikan semua manusia, tidak kira warna kulit dan asal usul, dapat hidup di bumi Allah SWT tanpa diskriminasi.

Wan Salman Wan Sallam,

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Berita Harian X