Rabu, 12 Januari 2022 | 11:01am

Imej SPRM tercalar teruk akibat pendedahan tak ikut saluran

Perhatian umum kini rata-rata tertumpu kepada isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang berlaku enam tahun lalu.

Pada 5 Januari lalu, Azam tampil memberi penjelasan dalam satu sidang media. Ringkasnya, pada majlis itu beliau menyebut bahawa akaun beliau digunakan oleh adiknya dan ada pihak yang cuba menyerang dengan mengguna isu berkenaan.

Susulan itu beliau juga mengambil tindakan undang-undang dengan mengemukakan surat tuntutan (LOD) menerusi peguam terhadap bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam yang dikatakan mendedahkan hal berkenaan.

Sekarang, tolak tepi soal isu saham Azam melanggar undang-undang atau sebaliknya dan tolak tepi juga apa niat Lalitha mendedahkan isu ini.

Persoalannya, benarkah Lalitha ini whistleblower atau pemberi maklumat mengikut akta dan perlu dilindungi? Di negara kita, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) diwujudkan sejak kira-kira 11 tahun lalu bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat.

Antara objektifnya, untuk menggalakkan dan memudahkan pendedahan kelakuan tidak wajar dalam sektor awam dan swasta.

Kewujudan akta ini dapat meningkatkan keyakinan masyarakat untuk mendedahkan sebarang salah laku yang terjadi, sama ada dalam sektor awam atau swasta.

Ia sebagai mekanisma saluran bagi membolehkan masyarakat membuat pendedahan tanpa rasa takut atau khuatir. Pemberi maklumat ini boleh mendapat perlindungan daripada mana-mana agensi penguat kuasa di bawah Akta 711 mengikut keselesaan dan tahap keyakinan masing-masing.

Perlindungan kepada pemberi maklumat hanya diberikan oleh agensi penguat kuasa yang menerima pendedahan itu sahaja.

Menjadi tanggungjawab agensi penguat kuasa itu untuk menguruskan maklumat sulit berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang dan kuasa yang diperuntukkan kepada sesebuah agensi penguat kuasa.

Perlindungan terhadap pemberi maklumat diberikan oleh agensi penguat kuasa meliputi perlindungan maklumat sulit termasuklah identitinya serta maklumat yang didedahkan itu, kekebalan daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah dan perlindungan daripada sebarang tindakan yang memudaratkan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 8, 9 dan 10 Akta 711.

Sekiranya seseorang itu mendedahkan sebarang kelakuan tidak wajar membabitkan mana-mana individu itu kepada agensi bukan penguat kuasa, maka perlindungan tidak diberikan.

Malah, sekiranya suatu permohonan perlindungan dikemukakan selepas itu, maka ia tertakluk kepada pembatalan perlindungan menurut peruntukan Seksyen 11(1)(f) Akta 711.

Maksudnya, jelas bahawa pemberi maklumat ini adalah yang memberi informasi kepada agensi penguat kuasa sahaja bukan selain daripada itu.

Agensi penguat kuasa ini ialah mana-mana kementerian, jabatan atau agensi pada peringkat persekutuan dan negeri yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan di bawah mana-mana undang-undang sedia ada.

Sebagai contoh Polis Diraja Malaysa (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Di Raja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.

Akibat daripada pendedahan tidak mengikut saluran dan undang-undang yang betul, maka berlaku pelbagai implikasi negatif yang amat membimbangkan.

Lihatlah ketika ini, imej SPRM tercalar teruk dan rakyat menjadi kurang yakin terhadap agensi berkenaan, sedangkan isu ini lebih kepada isu peribadi Ketua Pesuruhjaya agensi itu. Malah, Lalitha selaku pemberi maklumat juga ketika ini terdedah untuk disaman.

Selain itu, orang ramai mula membuat andaian masing-masing dan kes ini diadili di media sosial. Bukan tidak adil pada Azam sahaja, tetapi tidak adil kepada SPRM, malah Lalitha juga.

Kesan ini sepatutnya boleh dielak daripada berlaku jika maklumat disalur mengikut peraturannya. Janganlah salahkan undang-undang itu kononnya menyekat usaha pemberi maklumat yang berkesan.

Selagi undang-undang tidak dipinda, maka perlulah menggunapakai undang-undang sedia ada. Tidak masuk akal apabila kita ingkar undang-undang yang berkuat kuasa dengan alasan bahawa ia tidak betul dan perlu dipinda.

Anuar Manan,

Shah Alam, Selangor

Berita Harian X