Selasa, 11 Januari 2022 | 11:02am

Elak fitnah media sosial, bersatu harungi bencana

Di sebalik kemajuan ekonomi yang dinikmati negara sejak merdeka, rakyat masih berhadapan risiko banjir, malah hingga meragut nyawa dan memusnahkan harta benda. Tambah menyedihkan apabila punca banjir itu disebabkan pembangunan pesat yang tidak terkawal.

Baru-baru ini kenyataan pakar dari pelbagai institusi menegaskan betapa kritikal untuk negara melaksanakan pembangunan yang lebih mampan demi memastikan pemeliharaan alam sekitar dan menangani impak perubahan iklim. Pada peringkat sedunia, pembangunan mampan sudah menjadi agenda penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak Persidangan Berkenaan Persekitaran Manusia di Stockholm (1972), Deklarasi Rio (1992) dan kini diteruskan dalam gagasan Agenda Pembangunan Mampan 2030. Semua itu memerlukan sokongan setiap negara jika mahu bumi diselamatkan daripada kerosakan sejagat seperti perubahan iklim.

Ini bukan kali pertama kita mendengar istilah 'pembangunan mampan' dilaungkan, tetapi adakah isu ini diambil serius? Adakah pegawai kita di pentadbiran Persekutuan mahupun pada peringkat negeri benar-benar melaksanakan konsep pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar atau itu hanyalah setakat slogan kosong birokrasi? Dalam nafas sama, kenapakah masih ada persoalan besar mengenai tahap siap siaga dan tindakan kebangsaan terhadap sebarang bencana alam?

Pada peringkat masyarakat pula, masih perlu diterapkan dengan lebih intensif sikap dan tabiat bertanggungjawab terhadap alam sekitar, bukan sekadar kempen di papan iklan. Cukuplah sudah setiap tahun kita menghadapi insiden pencemaran kimia dan pembuangan sampah yang merosakkan sumber air dan sistem saliran kita. Di sini, yang patut kita salahkan adalah mentaliti mundur masyarakat kita sendiri.

Segala perkara ini (malah lebih lagi) sepatutnya diberi tumpuan oleh rakyat dan kelompok netizen yang aktif di media sosial jika kita mahu menyaksikan perubahan segera. Namun, amat menyedihkan kita perhatikan reaksi netizen di media sosial menggunakannya sebagai serangan politik, sindiran yang sekali gus mengeruhkan lagi keadaan.

Acap kali, bila berlaku musibah maka berlakulah juga serangan bertubi-tubi di media sosial dengan hantaran berbaur politik menyelar individu tidak kiralah orang itu di blok kerajaan atau pembangkang.

Misalnya, tohmahan turut dilempar ke atas ahli parlimen dan menteri yang melawat kawasan banjir. Malah pemberian pek bantuan dipersoalkan. Amat aneh sekali netizen dengan girang dan rakus mencari-cari kesalahan, apakah mesej yang cuba disampaikan?

Pada pendapat saya sebagai rakyat, media sosial hari ini adalah satu jenis bencana yang kadangkala lebih menjijikkan. Jika musibah banjir mengorbankan nyawa dan harta, tetapi musibah caci cerca di media sosial pula meracun jiwa dan pemikiran kita. Budaya berkongsi, 'sharing' dan mesej tanpa usul periksa hanyalah menggalakkan fitnah berleluasa, malah mengaburkan kita daripada hal yang lebih utama untuk difikirkan.

Ada dua jenis tragedi yang sebenarnya berlaku di negara kita sewaktu musim monsun Disember 2021, yang pertama bencana fizikal yang dicetus oleh sikap tidak peduli kita selama ini terhadap isu pemeliharaan alam sekitar. Kedua, bencana fitnah di media sosial yang didorong unsur politik.

Waktu ini sepatutnya semua rakyat berdiri bersama tanpa mengira kaum atau pegangan politik untuk menghadapi cabaran sedia ada. Maka, perlu diawasi unsur yang ingin mengeruhkan keadaan dan mengambil kesempatan politik. Sememangnya, fenomena banjir kali ini membawa banyak pengajaran, adalah penting kita segera bermuhasabah dan ambil iktibar daripadanya.

Ismael Yunus,

Shah Alam

Berita Harian X