Selasa, 11 Januari 2022 | 11:01am
Teknologi dan gajet masa kini menjadi penggerak utama operasi dalam talian.
Teknologi dan gajet masa kini menjadi penggerak utama operasi dalam talian.

Rakyat perlu sedia berdepan peralihan fasa digitalisasi

Apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung wabak COVID-19, ia bukan hanya mengehadkan pergerakan orang ramai, tetapi turut mengubah cara hidup.

Operasi syarikat swasta dan agensi kerajaan misalnya tidak lagi seperti biasa apabila ia dibuat secara hibrid dengan jumlah kakitangan di pejabat dihadkan sementara selebihnya bekerja dari rumah (BDR).

Hal ini membuka ruang kepada amalan pendigitalan. Peralihan kepada operasi dalam talian untuk hampir semua urusan dilihat kaedah paling tepat bagi menangani wabak. Ia kemudian disusuli dengan agenda MyDIGITAL diikuti dengan dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Mengambil kira keputusan itu, sudah tentu teknologi dan gajet masa kini menjadi penggerak utama dengan internet sebagai medium perantaraan. Aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, Google Meet dan Zoom antara yang mencatat pertambahan angka pengguna semenjak BDR dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan. Bukan itu sahaja, menjelang akhir tahun ini pengguna digital dijangka mencecah 90 peratus berbanding 88 peratus sebelum ini.

Perubahan juga dikesan dari segi gaya rakyat Malaysia berbelanja apabila jualan dalam talian atau e-dagang melonjak naik dan semakin popular hingga ia turut menjadi penyumbang ekonomi kepada negara. Kempen beli dalam talian seperti 'Shop Malaysia Online' dan 'Go-eCommerce' antara inisiatif di bawah pemulihan negara bagi mendorong perniagaan beralih ke arah digital.

Namun dalam mengejar perubahan pendigitalan ini, kerajaan menyedari bahawa rakyat Malaysia ada yang kurang berkemampuan. Justeru, bantuan Program Jaringan Prihatin dalam Belanjawan 2021 menyediakan subsidi langganan perkhidmatan telekomunikasi yang dapat membantu 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Program itu bermula dari Mei hingga September 2021 dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM2 bilion sementara RM1.5 bilion faedah padanan daripada syarikat telekomunikasi. Ia diguna bagi memberikan kemudahan peranti dan jaringan internet kepada yang memerlukan. Bersedia atau tidak, Malaysia sudah pun bergerak ke arah penggunaan digital dan fasa peralihan ini bukanlah angan Mat Jenin tetapi impian yang sudah ada jalan. Bagaimanapun, ia memerlukan masa dan tenaga pintar untuk direalisasikan.

Keadaan itu tentu sahaja akan mengubah landskap kehidupan seharian. Beberapa faktor seperti peningkatan produktiviti dan rantaian bekalan dapat dioptimumkan turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Digitalisasi yang datang bersama bantuan teknologi dapat menghasilkan kecekapan, penjimatan masa dan kualiti produktiviti yang lebih baik.

Namun, sebenarnya bersediakah rakyat Malaysia dalam menerima perubahan ini? Mampukah Malaysia merealisasikan pendigitalan ini kurang lebih dalam masa lapan tahun? Transisi yang diharapkan ini datang bersama beberapa implikasi nyata iaitu dari segi masa dan wang.

Penstrukturan semula dalam kerajaan seterusnya kepada rakyat pasti memakan berbilion ringgit, namun jika betul pendekatannya pasti membuahkan hasil yang bagus. Selain itu, penggunaan kecerdasan buatan dijangka menyebabkan peratusan pengambilan pekerja berkurang dan meningkatkan tahap pengangguran.

Muhammad Hafiz Ab Hamid,

Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

Berita Harian X