Sabtu, 8 Januari 2022 | 11:01am
Penting bagi ibu bapa menitikberatkan soal pemilihan beg yang sesuai untuk anak.
Penting bagi ibu bapa menitikberatkan soal pemilihan beg yang sesuai untuk anak.

Berat beg berlebihan undang kemudaratan

Isu beg sekolah yang terlalu berat acap kali menjadi keluhan ibu bapa dan pelajar. Bayangkan, seorang pelajar sekolah rendah yang mempunyai berat kira-kira 20 kilogram (kg) terpaksa memikul berat beg sekitar enam kg hampir setiap hari.

Secara umum, purata empat buku yang perlu dibawa bagi setiap mata pelajaran. Dianggarkan dalam sehari, terdapat lima subjek, maka hampir setiap hari pelajar perlu memikul sekitar 20 buku. Ini belum termasuk dengan alatan menulis, botol air, bekal makanan, alatan seni, kertas lukisan dan lain-lain.

Sering kali juga beg terpaksa ditukar tidak sampai setahun kerana gagal menampung berat barangan yang terlalu berat. Kajian mendapati berat beg sekolah kanak-kanak yang berlebihan boleh mendatangkan kemudaratan seperti kecederaan dan kesakitan kepada anggota badan. Malah penggunaan dalam masa yang lama akan menyebabkan postur badan membengkok. Demi menyeimbangkan badan ketika membawa bebanan berat juga menyakitkan leher kerana ia akan sedikit melengkung, selain turut mendatangkan kesakitan pada bahu.

Bebanan berlebihan yang diletakkan pada bahu, memaksa otot depan bahu bekerja lebih lantas mengakibatkan otot menjadi tegang dan tidak seimbang. Lebih malang lagi sekiranya tidak diatasi, sakit lutut juga akan terjadi kepada kanak-kanak disebabkan perubahan postur badan dan cara berjalan yang tidak betul untuk tempoh terlalu lama.

Bagi mengawal permasalahan ini, adalah penting bagi ibu bapa menitikberatkan soal pemilihan beg yang sesuai untuk anak-anak. Penting bagi kanak-kanak untuk menggunakan beg yang direka khas untuk mereka. Pemilihan fabrik yang ringan juga penting dalam membantu mengurangkan berat beg.

Digalakkan memakai beg yang mempunyai dua penyangkut berlapik span pada bahu bagi mengurangkan tekanan ke atas bahu dan mempunyai tali sokongan pada pinggang untuk memindah daya bebanan pada badan. Pilih beg yang mempunyai pembahagi ruang dan buku atau barang yang paling berat haruslah disusun di bahagian paling bawah dan rapat pada badan. Pastikan juga nisbah berat beg sekitar 10 peratus ke 15 peratus daripada berat badan.

Anak perlu digalakkan supaya sentiasa mematuhi jadual waktu yang ditetapkan sekolah dan amalan mengemas beg setiap hari bagi mengelakkan membawa buku yang tidak diperlukan haruslah dipupuk.

Sesungguhnya, proses pembesaran anak-anak sekarang adalah amat mencabar. Tersilap percaturan, kesihatan anak akan tergadai. Bagi mengelakkan anak kita dari terus menderita kesakitan, ibu bapa, pihak sekolah dan kementerian haruslah berganding bahu dalam menyelesaikan isu ini daripada terus berlanjutan.

Nadzrah Sa'adan

UiTM Kampus Pasir Gudang

Berita Harian X