Sabtu, 8 Januari 2022 | 11:00am
gambar hiasan
gambar hiasan

Alumni sekolah mampu bantu pendidikan negara, masyarakat

Berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), terdapat kira-kira 10,223 sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia. Justeru tidak hairan apabila KPM menerima sebanyak RM52.6 billion atau sebanyak 16 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan yang dibentangkan tahun lalu.

Peruntukan inilah yang akan turut digunakan seramai 4,987,401 murid dan 416,743 guru di seluruh negara. Selain membayar emolumen guru dan kakitangan sekolah, peruntukan itu turut digunakan untuk tujuan penyelenggaraan sekolah iaitu sebanyak RM900 juta serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain. Namun, adakah jumlah peruntukan ini mencukupi bagi kelancaran aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara umumnya?

Sering dibangkitkan dalam kalangan ibu bapa bahawa terdapat pelbagai kekurangan di sekolah kerajaan seperti kerosakan fasiliti, bangunan usang dan peruntukan yang tidak mencukupi untuk menjalankan sesuatu program akademik.

Sesetengah sekolah agak beruntung kerana mempunyai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang aktif serta berkemampuan bagi menampung kekurangan itu. Mengikut Akta Pendidikan KPM 1996, PIBG ditubuhkan di semua sekolah di bawah KPM bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dengan guru yang diharapkan dapat membina kesefahaman mengenai tugas dan tanggungjawab bersama. Setiap pelajar turut dikehendaki membayar yuran tahunan PIBG sebagai antara usaha membantu menampung pelbagai perkara di mana yang boleh. Namun, terdapat juga isu beban yuran tahunan PIBG bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan.

Bagaimanakah jika beban tanggungjawab itu tidak hanya terletak pada pihak KPM, sekolah dan PIBG? Jika setiap sekolah boleh mempunyai PIBG berdasarkan peruntukan Akta Pendidikan KPM 1996, bolehkah jika setiap sekolah juga turut disarankan untuk menubuhkan persatuan bekas pelajar atau alumni? Kedua entiti ini boleh saling melengkapi antara satu sama lain dalam membantu KPM dan pihak sekolah menelusuri proses pengajaran dan pembelajaran pelajar dan murid yang lebih efektif. Jika setiap ibu bapa menyumbang yuran PIBG kerana mempunyai anak yang menjalani persekolahan di sekolah itu, bolehkah juga setiap bekas pelajar turut menyumbang dan ia bukan hanya dari segi wang ringgit.

Jika PIBG dilihat lebih kepada fokus sumbangan kewangan melalui yuran dan program kecemerlangan akademik, alumni boleh mengambil tumpuan kepada perkara bersifat kokurikulum dan lain-lainnya. Pokok pangkalnya, sesebuah persatuan bekas pelajar perlu berperanan aktif bagi dilihat menarik untuk disertai. Aktiviti penjanaan sumber kewangan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada majlis makan malam tahunan, majlis perjumpaan semula dan yuran persatuan sahaja. Ia boleh dikembangkan kepada penjualan barangan persatuan, penganjuran liga alumni setempat dan sebarang bentuk perniagaan yang mampan.

Kebanggaan untuk dikenali sebagai lepasan pelajar sesuatu sekolah boleh menjadi satu perspektif penyemaian identiti. Hakikatnya, persatuan bekas pelajar yang aktif bukan sahaja akan memberi manfaat kepada sekolah, masyarakat setempat juga boleh menerima faedahnya.

Dalam hal ini, pihak KPM boleh melihat kepada potensi untuk memberikan lebih kuasa autonomi kepada sekolah yang mempunyai persatuan bekas pelajar yang aktif dan berdaya saing. Universiti awam di Malaysia mempunyai sistem APEX (Accelerated Programme for Excellence) yang mana universiti berkenaan diberikan keistimewaan oleh kerajaan dengan diberi autonomi penuh seperti pengurusan kewangan, pentadbiran dan pengambilan pelajar. Boleh sekiranya percubaan awal secara berperingkat seperti pelepasan cukai atas sumbangan kepada persatuan bekas pelajar dan kebenaran sewaan fasiliti sekolah kepada umum dilaksanakan bagi menggerakkan usaha ini. Pihak KPM juga boleh mempertimbangkan penganugerahan geran bantuan penubuhan secara 'one off' kepada persatuan bekas pelajar yang berminat.

Secara kasarnya, kebanyakan sekolah menengah atau 2,440 sekolah mempunyai persatuan bekas pelajarnya sama ada aktif atau tidak aktif. Cabarannya ialah menubuhkan alumni bagi sekolah rendah di seluruh negara. Namun, jika disasarkan sekurang-kurang 50 peratus daripada jumlah sekolah di Malaysia mempunyai alumni yang bergiat aktif, pastinya pelajar dan murid akan merasai nikmatnya. Ia membantu peruntukan tahunan KPM boleh menjadi lebih bersasar kepada perkara yang lebih berkeperluan terutamanya untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Peribahasa Afrika ada menyebut, ia memerlukan seluruh kampung untuk membesarkan seorang anak. Setiap pihak wajar berganding bahu bersama-sama dalam membantu proses pendidikan anak-anak kita. Natijahnya, tanggungjawab untuk memastikan generasi pewaris negara mendapat capaian kepada pendidikan terbaik adalah melangkaui sempadan sekolah. Insya-Allah, jika punya cita-cita dan berusaha, kita akan berjaya.

Ir Ghazali Bujang

Presiden Alumni Sekolah Alam Shah

Berita Harian X